Feb 20, 2017 - 139750

10 Rahsia Cantik dari Thailand yang Mesti Anda Amalkan, Petua No. 7 Licinkan Kulit Wajah

Kecantikan wanita Thailand memang tidak dapat dinafikan. InTrend kumpulkan rahsia kecantikan terbaik dari Negara Gajah Putih ini, cubalah!

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

THAILAND, sebuah negara yang kaya dengan budaya, adat resam dan menjadi tumpuan pelancong kerana terkenal dengan kecantikan pulaunya. Bukan pulau sahaja yang cantik, malah kecantikan wanita Thailand juga dikagumi semua. Daripada petua kekal awet muda agar tidak dimamah usia hinggalah cantik luar dan dalamnya, wanita Thailand ada rahsia dan ritual cantik mereka. Eksklusif ruangan Puri Petua Asli bulan ini, kami bongkar rahsia cantik wanita Thailand agar jadi panduan buat kamu semua. 

 

 

 

1. Makanan yang Kaya dengan Herba dan Rempah-ratus

Herba dan rempah-ratus mempunyai khasiatnya yang tersendiri untuk kecantikan kulit dan kesihatan dalaman. Maka, tidak hairanlah kebanyakan masakan Thai menggunakan herba dan rempah-ratus dalam setiap menu. Antara herba dan rempah-ratus yang sering digunakan seperti kunyit, serai, asam jawa, rempah kari, halia, kulit kayu manis, buah pelaga, daun kesum dan daun pudina.

 

Herba dan rempah-ratus berkesan untuk kesihatan dalaman kerana ia melancarkan peredaran darah, melawaskan sistem pencernaan dan meningkatkan kadar metabolisme tubuh. Selain itu, bahan-bahan ini juga merupakan sumber semula jadi pelbagai vitamin seperti vitamin A dan C yang baik untuk kecantikan kulit dan rambut. 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

2. Minuman Ala ‘Detox’

Minuman ala ‘detox’ pula cukup sinonim dalam kalangan wanita Thai. Selain menghilangkan dahaga, ia juga berfungsi menyingkirkan toksik dan lelemak daripada badan. Salah satu jus ‘detox’ yang terkenal dalam kalangan masyarakat Thai ialah jus serai.

 

Jus ini adalah campuran serai dan limau nipis. Untuk membuang lemak dan angin dalam badan, ambil tiga batang serai dan rebus bersama dua cawan air. Biarkan ia mendidih sehingga tinggal satu cawan air. Kemudian, minumlah semasa masih panas. Amalkannya selalu agar badan terasa lebih ringan. 

 

 

3. Amalan Berurut 

Amalan berurut juga menjadi simbolik kepada negara gajah putih ini. Golongan wanita di sana lebih senang menjadikan amalan berurut sebagai rutin kecantikan mereka. Ini kerana berurut dapat melancarkan peredaran darah, merehatkan badan dan mampu menenangkan fikiran. Apa kata kamu cuba buat sendiri minyak urut dengan ramuan berikut: 

  • Minyak kelapa (dibuat menggunakan santan daripada sebijik kelapa yang dimasak sehingga menjadi minyak) 
  • 3 camca besar halba
  • 4cm halia
  • 4cm kunyit hidup 
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah 

CARANYA: Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah. Kemudian, masak bersama halba dan minyak sehingga panas. Sejukkan dan simpan di dalam bekas kering agar tahan lama. Sapukan minyak ini pada seluruh tubuh ketika kamu berurut. 

 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

4. Santan Kelapa 

Satu lagi rahsia cantik wanita Thai adalah rambut mereka yang sihat, hitam dan lebat. Ini kerana mereka lebih selesa menggunakan sumber asli untuk mendapatkan rambut yang sihat dan cantik secara semula jadi. Caranya mudah saja, lembapkan rambut dengan santan pekat selama 30 minit, kemudian bilas. Hasilnya, rambut kelihatan hitam, bersinar dan lebat. 

 

 

5. Limau Nipis 

Limau nipis juga banyak digunakan dalam masakan dan minuman Thai. Kaya dengan kandungan vitamin C, limau nipis juga berupaya mengharumkan rambut. Jika kamu berkesempatan, cuba petua kecantikan wanita Thai ini. Ambil beberapa biji limau nipis dan hiris, kemudian gosokkan ke seluruh kulit kepala. Biarkan beberapa minit, selepas itu cuci sehingga bersih. Selain mewangikan rambut, limau nipis juga boleh meredakan pening dan menyejukkan kepala.

 

 

 

Kredit foto: Google 

 

 

 

6. Rawatan Haba

Rawatan haba pula menjadi satu kemestian bagi kebanyakan wanita Thai. Amalan seperti bertungku menggunakan herba, stim wajah, sauna dan penggunaan batu sungai yang dipanaskan menjadi sebahagian daripada ritual cantik untuk memiliki tubuh yang langsing. Amalan ini juga dipercayai dapat membantu melancarkan sistem peredaran darah, memecahkan lelemak, menaikkan seri wajah serta menyingkirkan toksik melalui peluh. Tubuh terasa lebih ringan dan segar jika amalan rawatan haba dilakukan secara teratur. 

 

 

7. Kunyit 

Jika wanita India menggunakan kunyit untuk menyerikan wajah, begitu juga dengan wanita Thai. Kunyit sering digunakan dalam penghasilan produk kecantikan seperti skrub dan sabun di Thailand. Sifat kunyit yang mengandungi antiseptik berupaya menghilangkan jerawat malah membantu mencerahkan kulit. Berikut adalah ritual cantik wanita Thai untuk melicinkan kulit wajah meng- gunakan kunyit: 

CARANYA: Ambil 1cm kunyit hidup, setengah camca asam jawa dan bedak sejuk. Campurkan semua bahan dan sapukan pada wajah setiap hari sebelum tidur. Insya-Allah kulit wajah lebih licin.  

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

 

8. Lulur

Satu lagi kemestian dalam ritual cantik wanita Thai adalah amalan berlulur. Mereka melakukannya untuk memiliki kulit yang licin dan lembut. Selain kunyit, wanita Thai juga menggunakan beras, bunga-bungaan, halia, asam jawa serta buah-buahan sebagai bahan lulur. Antara kelebihan lulur badan adalah: 

  • Kulit tubuh lebih halus.
  •  Kulit lebih cerah dan gebu.
  • Menanggalkan sel-sel kulit mati.
  • Memudar dan menghilangkankesan parut.
  •  Melancarkan peredaran darah. 

 

 

8. Lidah Buaya 

Tidak lengkap ritual wanita Thai tanpa menggunakan daun lidah buaya. Khasiat gel daripada  daunnya berkesan menghilangkan jerawat. Maka tidak hairanlah mengapa daun lidah buaya sering digunakan dalam penghasilan produk kecantikan. Gel lidah buaya juga sesuai untuk menegangkan kulit wajah yang kendur sekali gus mengurangkan kedutan. Ia juga dapat dijadikan sebagai bahan pelembap untuk kulit dan rambut. 

 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

10. Masker Betik 

Wanita Thai gemar menggunakan masker betik kerana ia kaya dengan Vitamin A yang menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru. Betik adalah sumber antipenuaan serta bahan pencerahan semula jadi yang dapat merawat kulit kendur.

CUBA INI: Campurkan tiga camca besar betik masak yang dikisar, 1/3 cawan oat dan satu camca besar madu. Sapu pada muka dan biarkan selama lima hingga 10 minit kemudian bilas dengan air suam. Insya Allah kulit wajah beransur tegang.  

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Ini 4 Petua Kekal Awet Muda Tanpa Bersusah-payah. Tak Percaya? Lihat Sendiri Hasilnya

  • Seterus →

    5 Tips Bijak Atasi Jerawat yang Murah dan Pantas Bikin Kulit Licin Bak Telur Dikupas