Jan 19, 2017 - 86117
Oleh: Afiza Kamarulzaman
MUNCUL sebagai pelawak wanita, adalah lumrah apabila tampil dengan imej susuk tubuh montok ‘comel’. Namun, kemunculan awal bukan bermakna ia harus kekal selamanya begitu. Selain pelawak, Zulin Aziz yang juga penyampai radio Suria fm, kini menjadi ‘orang baru’.
Kemunculannya di Gegar Vaganza 3 dengan potongan badan yang lebih kurus dan menggiurkan membuatkan ramai tertanya-tanya apa yang Zulin buat sehingga mampu biola itu? Menurut Zulin, selain sibuk dengan program radio, untuk tahun 2017 nanti sudah ada beberapa projek yang menantinya.
Katanya juga, dia bakal berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Semua itu, akan diberitahu sedikit waktu lagi. Lupakan semua itu, kerana ramai yang lebih mahu tahu apa rahsia kurusnya itu! Sila kongsi Zulin...
Sejak bila azam menguruskan badan tercetus?
Sejak rasa... apabila mengenakan baju, semuanya tak muat terutamanya baju yang ditaja designers. Sedih! Faktanya, Zulin memulakan program menguruskan berat badan September yang lalu.
Sebenarnya, badan Zulin sudah mula menampakkan ‘pengecutan’ beberapa lama dulu tetapi mungkin disebabkan kurangnya muncul di khalayak ramai, maka ramai yang tidak perasan. Tetapi, apabila tiba-tiba buat kemunculan khas di program besar seperti Gegar Vaganza 3, ramai yang mula perasan dan bertanya apa sudah jadi? Zulin kurus tiba-tiba! Hakikatnya, bukanlah tiba-tiba, berat menurun dengan proses hari demi hari juga.
Apa yang mendorong Zulin untuk kurus, tidak gembirakah dengan berat badan lama?
Siapa suka dengan penampilan tubuh besar? Terutamanya perempuan. Macam yang Zulin katakan tadi, dorongan itu menjadi kuat untuk kurus apabila susahnya untuk mencari baju yang ‘ngam’ pada badan. Kita ini selebriti, menyalin pakaian itu adalah salah satu cabang kerja.
Kita bukan hanya fikirkan kekecewaan sendiri tetapi juga para penaja yang pasti lebih kecewa apabila baju yang mereka siapkan tidak mampu untuk kita pakai. Inilah realiti kehidupan yang mendorong Zulin untuk kurus.
Jadi, apa tips dan amalan kurus Zulin?
No sugar, no rice, no spaghetti, dan banyak lagi makanan yang menyumbang kepada penambahan berat badan harus dielakkan. Selarikan diet yang baik tadi dengan bersenam. Zulin amalkan joging sepanjang lima kilometer sehari dan Muay Thai.
Kalau diamalkan kedua-dua habit ini dalam sebulan setengah sahaja sudah mampu turun 10 kilogram. Cuma kebelakangan ini, Zulin agak sibuk, jadi aktiviti bersenam sudah terhad. Hanya mampu kawal makan, agak susah sedikit mahu turun berat yang bersisa ini, hahaha...
Berapa berat terkini?
Tak boleh timbang sekarang, Februari nanti baru nak timbang. Zulin ada masalah cepat berpuas hati. Nanti kalau timbang, nampak ada turun sekilo, mulalah rasa nak bebas makan. Jadi, sebaiknya elakkanlah.
Apa perbezaan yang dirasakan sebelum dan selepas kurus?
Banyaklah perbezaannya! Seronok sangat. Semua baju yang sebelum ini tak muat sudah boleh dipakai. Malah, aktiviti fizikal pun menjadi lebih mudah. Tidak penat nak membawa badan, hahaha... Tapi dalam seronok-seronok itu tak boleh leka juga, banyak lagi kilo-kilo yang harus diturunkan.
Apa nasihat Zulin kepada perempuan yang tidak kisah tentang berat badan mereka?
Apa pun kita inginkan, harus ada usaha yang bersungguh. Badan kita, kita fikirlah sendiri. Kalau kita suka tengok Aiswarya Rai atau Megan Fox ke, kita harus ingat mereka pun berusaha untuk kekal cantik.
Mereka juga bersenam dan jaga makan. Kita ini, kadang-kadang hanya suka tengok, puji itu ini tetapi kita sendiri tidak mahu menjadi seperti mereka. Jadinya, kalau kita tidak mahu berusaha untuk mengubah cara hidup, maka gemuklah kita bak melukut di tepi gantang, hahaha...
Azam cantik untuk 2017?
Mahu terus mendapatkan berat badan yang diimpikan dan paling penting kekal sihat. Kalau kurus cantik tetapi berpenyakit pun tidak guna juga. Jadi, biarlah kurus, cantik dan sihat. Sebenarnya, Zulin masih ada target hingga Februari nanti untuk penyudah berat badan impian Zulin.
Sebab itu, mulanya Zulin tolak pelawaan InTrend untuk keluarkan Zulin pada isu Januari ini, tetapi disebabkan katanya tahun baru azam baru, berat baru, jadi Zulin akurlah. Kalau mahu tahu, bagaimana imej Zulin yang latest, tunggulah Februari nanti ya, hahaha..
Makna cantik bagi Zulin?
Cantik itu difahami dengan pelbagai maksud oleh setiap individu berbeza. Cantik itu rangkuman luar dan dalam. Kalau ada yang mengagungkan kecantikan pada wajah dan fizikal semata-mata, maka tidak sempurnalah seseorang itu.
Sebaiknya kita ini cantik dengan dimulakan dengan dalaman kita dahulu, kemudian ia akan terserlah pada luaran secara semua jadi.