Feb 24, 2017 - 9328
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: Corbis
KECANTIKAN adalah milik semua insan. Semua orang mengidamkannya. Pelbagai kaedah digunakan untuk memulihkan kecantikan yang sudah luntur agar kembali seperti sediakala. Wang ditabur tidak mengapa, asalkan hasrat cantik dalam genggaman. Namun begitu, takrif cantik itu tetap subjektif. Ada wanita berpendapat, “Saya kelihatan cantik jika saya kurus.” Atau mungkin juga ada yang berkata, “Saya lebih cantik jika kulit putih bak kapas, licin bak telur dikupas.” Tetapi saya percaya, hakikat tuntutan kerja merupakan punca utama mengapa banyak wanita berkata TIDAK kepada rutin kecantikan yang rumit.
Belum lagi ditambah tanggungjawab mengurus anak-anak kecil berderet. Malah ada juga yang tidak sanggup lagi menempuh waktu hamil, bimbang kehilangan bentuk badan yang sudah kembali ‘bergitar’ selepas berbulan-bulan mengharungi tempoh berpantang yang sukar.
Lalu apa lagi pilihan yang ada? Jangan lupa kembali kepada alam! Amati setiap inci alur tubuhmu di hadapan cermin. Ketahui kekurangan, fahami kelebihan.
30 PETUA BUAT IBU MODEN
1. Atasi Rambut Kusut dan Tidak Bermaya
Ambil perahan santan dan lumurkan pada rambut sebagai pengganti perapi rambut. Biarkan seketika sebelum membilasnya bersih. Ia melembut, mengilat dan melicinkan rambut.
2. Atasi Masalah Rambut Gugur
Daun bunga raya yang diramas-ramas sehingga mengeluarkan lendir bagus disapu pada rambut dan kulit kepala kerana ia melebatkan rambut. Ia juga boleh meredakan demam. Caranya, jaramkan kepala orang yang demam dengan air ramasannya dan biarkan ia kering sendiri
3. Idamkan Gigi Putih Berseri?
Ambil serpihan arang dan gosokkan pada gigi. Insya-Allah hasilnya amat memuaskan. Sekiranya gigi sakit, berkumurlah dengan air garam.
Kredit foto: Corbis
4. Menghilangkan Bau Kaki
Sediakan sebesen air dan campurkan segenggam asam jawa dengan dua camca besar garam. Rendamkan kaki bermasalah dan gosoklah celah jari dengan asam jawa. Selain menghilangkan masalah bau kaki, ia juga menghilangkan masalah gatal-gatal.
5. Petua Bertungku
Amalan bertungku dengan batu panas (seeloknya batu sungai) yang dibalut dengan daun amat mujarab untuk menjamin kesihatan wanita yang bersalin, untuk jangka panjang. Batu tungku yang dibalut daun pisang, daun sirih dan daun lengkuas dipercayai bagus untuk mengurangkan kembung atau senak perut. Daun pandan pula bagus untuk melegakan otot-otot yang tegang.
6. Menegangkan Kulit Muka
Putih telur boleh digunakan sebagai masker. Bukan saja membuang kotoran dari pori-pori, ia juga menegangkan kulit yang kendur.
7. Kulit Beminyak, Kerap Berpeluh?
Apabila membasuh beras, ambil air basuhan beras itu untuk disapu pada wajah, biarkan beberapa minit sehingga ia kering. Amalkan selalu. Kulit menjadi tegang, halus dan bersih.
8. Mengatasi Bau Mulut
Kunyah dua hingga tiga biji cengkih sebagai penyegar mulut. Memang pahit, tetapi hasilnya mujarab. Bayangkan ia seperti gula-gula getah!
9. Berkelemumur?
Kisar lima biji limau nipis bersama kulitnya sehingga halus. Tapis lalu sapu pada kulit kepala. Perapkan seketika. Petua ini melembutkan rambut juga, menghilangkan kelemumur.
Kredit foto: Google
10. Mencerah Bawah Lengan
Tumbuk lumat 15 biji jintan putih bersama lima butir kapur barus. Campur sedikit minyak zaitun asli lalu sapu pada bawah lengan. Buat selalu supaya ketiak yang gelap kembali cerah.
11. Menyegarkan Pancainderamu
Ambil uncang teh yang telah digunakan, sejukkan selama satu sejam kemudian letakkan ia pada mata yang terpejam. Kaedah ini membantu mengembalikan kesegaran mata.
12. Mencantikkan Kaki
Kaki bercapuk, bertompok kudis? Rendamkan kakimu dengan air basuhan beras yang dicampur sedikit serbuk kunyit. Air beras berperanan melembutkan kulit, khususnya tompokan kulit yang keras kematu. Serbuk kunyit mengembalikan seri warna kulit.
13. Menghaluskan Kulit Tapak Tangan
Sental tangan dengan serbuk kopi atau serbuk teh yang telah dipakai. Amalkan selalu.
14. Melicinkan Kulit
Pernahkah kamu memasak belut? Tahukah kamu, belut mempunyai lendir yang berkhasiat untuk kulit? Apabila membasuh belut untuk dimasak, ambil sedikit lendirnya lalu sapulah pada kulit seolah- olah memakai masker. Bilas bersih 15 minit selepas itu.
15. Mengatasi Bibir Merekah
Atasi masalah bibir dengan menyapukan madu padanya sebelum tidur atau sebelum keluar rumah. Jika kurang selesa dengan madu kerana melekit, ganti dengan mentega.
Kredit foto: Corbis
16. Pemakanan Kala Berpantang
Selalulah menggunakan kunyit, halia dan bawang merah yang digaul lada hitam sebagai bumbu masakan. Petua ini bagus untuk
memanaskan tubuh ibu sedang berpantang.
17. Kaki Bengkak Ketika Hamil
Rebus segenggam bulu jagung bersama sedikit air. Kemudian tapis dan minum setiap hari
18. Mengempiskan Perut yang Buncit
Hello wanita, big tummy is not SEXY ya. Menghindarinya? Jika makan nasi, jangan bersulam air. Sebaiknya, minum satu jam selepas makan. Amalkan juga minum air limau nipis.
19. Urut Selepas Bersalin
Tahukah kamu, urut bukan sahaja memulihkan peredaran darah, ia juga mengeluarkan angin dari badan, malah melawaskan darah nifas jika wanita baru bersalin. Tetapi jangan berurut dalam tempoh dua minggu pertama. Peranakan masih lemah, dan bengkak masih belum surut. Hanya urut bahagian bahu, leher, dada dan payudara. Berurutlah seluruh badan selepas dua minggu itu hingga hari ke-44.
20. Memurnikan Kuku Kaki
Titiskan cuka di sekitar ibu jari kaki. Kemudian bersihkan dengan air suam. Daki yang melekat pada celahan kuku akan keluar dengan sendirinya.
21. Merawat Tumit Kaki Pecah
Rendamkan kaki di dalam air suam selama beberapa minit. Selepas itu, gosokkan tumit kaki pada batu asah pisau. Lakukan dengan kerap sehingga tumit kembali licin dan halus teksturnya.
22. Menegangkan Payudara
Lumurkan minyak kelapa dara pada beberapa helai daun sirih. Salai di atas api lilin lalu tekap pada payudara. Biar sehingga kering. Kaedah lain, sapu dan ratakan putih telur mengelilingi payudara. Biar ia kering dengan sendirinya. Amalkan setiap malam sebelum tidur. Bersihkan seperti biasa keesokannya.
Kredit foto: Corbis
23. Mengurangi Kegemukan
Ambil buah pinang muda yang lembut, belah dua lalu cuci bersih. Rebus pinang di dalam air sehingga mendidih. Biarkan air rebusan pinang sejuk sebelum meminumnya. Kesannya? Membuang air besar lebih lawas, malah lemak tersimpan di dalam perut dikurangi.
24. Rahsia Bawah Lengan Harum
Potong tiga biji limau purut dan gosoklah ia pada bawah lengan semasa mandi. Buat selalu kerana ia mengharumkan daerah kulit yang terlipat itu.
25. Memulihkan Luka
Pembedahan Ikan haruan amat berkhasiat untuk segera memulihkan kesan luka atau koyak kerana bersalin cara pembedahan. Petua lazim adalah dengan mengamalkan makan sup ikan haruan.
26. Menghilangkan Tanda Hitam Pada Badan
Ambil beberapa helai daun sirih, letakkan sedikit kapur dan minyak zaitun lalu gosokkan pada lutut dan siku. Amalkan selalu.
27. Menghangatkan Tubuh
Tahukah kamu, lada hitam bagus untuk membuang angin dan memanaskan badan? Kerananya juga, tubuh berpeluh. Sesuai diamalkan wanita yang sedang berpantang.
28. Menghilangkan Parut
Belah daun lidah buaya, picit sehingga keluar lendirnya lalu sapu pada luka atau parut.
Kredit foto: Corbis
29. Naikkan Seri Wajah
Ramas-ramaskan daun sirih dengan air bersih, kemudian gunakan airnya untuk membersihkan bahagian sulit. Lakukan setiap hari dan jangan lupa juga untuk rajin berselawat. Nescaya wajah bercahaya berseri-seri.
30. Kalau Payudara Bengkak
Goreng pasir di dalam kuali lalu uncangkannya di dalam kain. Tuam uncang yang sederhana hangat tadi pada permukaan payudara hingga bengkaknya susut. Atau leraikan dua hingga tigakeping kelopak kobis segar, tekapkan ia pada payudara yang bengkak selama 15-20 minit. Jika daun kobis berubah menjadi lecur atau layu, ganti dengan kepingan yang baru pula. Nescaya bengkak akan surut dan sakit berkurangan