Nov 09, 2016 - 122349
Oleh: Salina Ibrahim
BAGAIMANA Bella Ammara bermula, daripada kecil-kecilan sehingga dapat bertapak kukuh, memiliki butik dan dikenali? Carl sudi kongsikan kesukaran dan liku serta jatuh bangun anda?
Julai 2016 ini, genap empat tahun penubuhan Bella Ammara. Pada Julai 2012, kami bermula dengan sembilan pasang telekung sebulan dan hari ini mencecah lebih kurang 10,000 pasang koleksi jubah dan telekung sebulan.
Antara tahun 2010 hingga 2011, saya bekerja sebagai ahli kimia di Nilai. Ketika itu, saya mula mengkaji ‘asas-asas pembentukan wang di dunia’ semasa. Buku, blog, Google dan YouTube adalah kawan-kawan baik saya. Saya telaah hasil kajian Sheikh Imran Hossein sehingga Ron Paul dan Michael Maloney.
Bidang kimia mengajar saya untuk mengkaji terlebih dahulu sebelum melontarkan sesuatu kesimpulan. Setahun mengkaji perihal ekonomi dan duit dunia, saya sedar kita semua telah banyak ditipu. Sebanyak 99 peratus manusia di dunia ini terpedaya dengan tipu daya helah duit.
Kenyataan ini buat saya takut dan gentar. Saya nekad berhenti kerja kerana saya rasa makin lama bekerja makan gaji, saya akan jatuh miskin. Aneh kan, rasa susah untuk diterima akal sebab di media massa sentiasa mengatakan ekonomi kita amat stabil. Maka, saya nekad berhenti kerja. Saya cuba cari jalan berniaga tapi tak jumpa. Setengah tahun saya menganggur. Tiada wang, kereta Perodua Kenari kena tarik.
Ketika itu, saya dan Belle sudah berpasangan, Belle ajak keluar makan pun saya tak mampu nak bayar. Masak nasi kosong berulamkan petai, janji makan tidak lebih RM5 sehari.
Namun begitu, setengah tahun hidup melepak di rumah beri peluang kepada saya berkawan rapat dengan internet. Setengah tahun, saya belajar cara menjadi usahawan berjaya.
Alhamdulillah dengan ilmu yang saya ada, sebuah bank menerima saya dan memberi saya peluang untuk berniaga menjual emas. Ada sasaran jualan, kalau tak capai sasaran, kena buang! Saya nekad untuk sertai juga, sebab saya nak tahu apa yang bank buat. Saya sertai bank sebagai ‘Gold Salesman/Trader’.
>>>Pasangan Buta, Tapi Anak Lahir Celik. Ini Allah Punya Kuasa!"<<<
Sejak zaman tamadun Yunani hingga ke zaman sahabat Rasulullah dan pemerintahan Muhammad al-Fateh di kerajaan Islam Turki, emas dan perak digunakan sebagai duit. Kita kena pandai beza antara duit dengan mata wang. Mata wang yang dalam dompet kita, kertas berconteng yang makin jatuh nilainya. Duit pula tidak akan sesekali jatuh nilai.
Saya berjaya mencapai matlamat No.1 Gold Trader di bank tersebut. Walaupun saya capai, duit untuk bayar itu ini tetap zero sampai hujung bulan. Hal ini buat saya berfikir, saya harus berubah. Saya nekad, saya harus ubah diri saya sebelum saya ubah pemikiran orang lain.
Pada Julai 2012, saya dan Belle bertunang dengan kos RM60 sahaja. Sebanyak RM60 digunakan untuk membeli buah, itu saja yang mampu.
Pada Disember 2012, adalah majlis perkahwinan kami. Duit untuk kahwin? Sungguh saya cakap, betul zero!
Tapi saya percaya Allah itu Maha Berkuasa. Saya hendak bina masjid, Allah pasti akan tunaikan. Saya teruskan dan letak Allah sentiasa nombor satu di hati. Allahumma yaasir wala tu’assir, Allahumma yaasir wala tu’assir.
Dan saya berpegang kuat pada kata Rasulullah, bahawa 9/10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Saya lihat bangsa asing lebih percaya pada kata Rasulullah berbanding bangsa saya. Dengan usaha, doa dan tawakal kepada Allah, saya cuba berniaga. Saya bermula dengan pinjam duit emak. Bersama- sama Belle, kami gunakan modal RM1,000 itu untuk membuat sembilan pasang telekung berwarna.
Kenapa pinjam emak dan bukan pinjaman bank? Sebab saya pernah kerja bank dan saya tak suka buat pinjaman bank. Kebanyakan pinjaman bank melibatkan interest.
Sebab itu, saya pinjam duit emak. Saya percaya kuat pada kuasa Allah. Saya mula berusaha menjaga solat dan bersedekah, kerana sedekah itu penambah rezeki. Alhamdulillah dengan RM1,000 duit emak, campur jujur, campur sedekah, campur ingat Allah The Only One yang bagi rezeki, saya dapat mendirikan rumahtangga dengan duit sendiri.
Alhamdulillah, kami dapat tinggal di kediaman yang selesa bersama kucing-kucing haiwan kesayangan Rasulullah, dapat membantu keluarga buat duit lebih dengan penubuhan jenama OSRA dan Pudore, juga buka butik Bella Ammara di Setapak, Shah Alam, Bangi, Sungai Petani dan Johor Bahru. Kami juga dapat menanam sifat ingin berniaga dalam kalangan rakan-rakan yang lain.
Mungkin ini baru empat tahun. Ya, jauh lagi perjalanan hidup ini. Hari ini alhamdulilah, saya mengetuai 10 syarikat dan mempunyai lebih 50 orang staf. Saya masih berjaya tidak lakukan pinjaman bank dan tidak mempunyai kad kredit. Yang penting, saya masih kuat percaya kuasa Allah.
>>>16 Kali Kemoterapi dan 21 Kali Proses Radiasi. Dia Pejuang Kanser Payudara<<<
SUMBER: Petikan artikal InTrend Jun 2016