Jan 19, 2017 - 1164
Oleh: Marini Mat Zain
Foto : shutterstock
MANA lagi mahu dapatkan saat matahari terbenam paling indah. Saya pasti menunggu saat itu setiap kali kaki menginjak tanah indah ini. Persisiran pantai Canggu seluas 10 kilometer di selatan Bali memang tersohor sebagai destinasi peluncur pantai.
Romantis dijadikan destinasi bulan madu. Mungkin juga sekadar percutian bersama teman-teman akrab. Hanya 20 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Ngurah Rai Bali ke Canggu. Terdapat sesetengah hotel bertaraf lima bintang akan menghantar pemandu menunggumu di lapangan terbang.
Tidak pun kamu boleh mendapatkan teksi dengan mudah. Teksi Bluebird semestinya menjadi pilihan saya kerana harganya lebih berpatutan. Kamu juga boleh menghubungi Uber kerana ternyata tambangnya murah.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
Lagi pula Canggu terletak berdekatan dengan Seminyak, sewa sahaja motosikal dan kamu boleh ke pusat bandar mencari hiburan. Terletak hanya 20 kilometer di utara Seminyak yang semakin sibuk. Kerana itu saya memilih Canggu untuk pulang dalam keadaan yang lebih tenang.
Ada beberapa jalan perlu dilewati namun tidak sukar hendak menjelajah daerah Canggu ini. Terdapat pantai Batu Bolong yang boleh terus ke Berawa. Kamu boleh memilih pantai kegemaranmu seperti Pantai Canggu (Batu Bolong), Pantai Echo (Batu Mejan), Pantai Berawa, Perenenan atau Pantai Nelayan.
Tempat penginapan peluncur, tumpuan peluncur luar negara terutama di Pantai Echo. Duduk menikmati deru angin sambil menikmati jagung bakar enak, perasaan pasti melayang-layang. Sambil itu mendengar lagu merdu menerusi telefon bimbit yang disambung ke audio kecil dibawa.
Saya sering duduk di tepi pantai Batu Bolong menunggu matahari terbenam dengan peluncur kacak di laut luas. Kemudian singgah sebentar di r. Seraya ada persembahan DJ dan di sinilah kamu boleh mencari sahabat baru.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
SAWAH TERBENTANG LUAS
Tidak pun melewati kafe hipster yang terletak di tepi sawah padi sepanjang jalan utama Canggu. Ada beberapa pilihan namun kamu perlu berhati-hati mencari menu halal. Mungkin sekadar minum sambil menikmati panorama indah.
Canggu juga penuh dengan jalan singkat melalui desa yang di kiri dan kanannya sawah padi. Andainya kamu dari Batu Bolong untuk ke Berawa, memang indah. Pemandangan di luar dugaan dan saya paling suka melaluinya dengan motosikal.
Memang suasana desa masih kekal di Canggu ini. Saya menghabiskan novel ‘Fajar di Bukhara’ juga di tanah Canggu ini. Panorama di Canggu sungguh sesuai bagi saya mencari ilham menulis.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
TINGGAL DI MANA?
Mudah mahu mendapat tempat tinggal di Bali kerana di sepanjang jalan terdapat banyak hostel mahupun inap desa terutama disediakan buat golongan peluncur. Majoriti peluncur berasal dari Australia lazimnya yang akan menetap di situ sebulan dua atau lebih. Mereka cukup gemar bercanda di Bali sambil meluncur girang.
Terdapat tiga kategori tempat tinggal – mewah, sederhana dan bajet. Berikut adalah lima pilihan penginapan pilihan saya sepanjang di Canggu, Bali. Kamu juga mampu memilih sendiri tempat tinggal digemari. Hanya rujuk Airbnb dengan tawaran lebih berpatutan.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
1. TUGU HOTEL, SPA, RESTORAN
Terdapat penginapan mewah seperti Tugu Bali, yang berdekatan sahaja kafe Old Mans. Paling seni bina setiap kediaman yang masih mengekalkan tradisi tempatan. Setiap rumah mempunyai kisah dan sejarah tersendiri.
Makan pagi bakal disediakan di mana-mana kamu pilih termasuk di tepi pantai. Menunggu matahari terbenam di petang hari pasto menakjunkan. Sangat indah!
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
2. VOYAGER BOUTIQUE CREATIVE RETREAT
Seandainya fikiran sedang buntu, di sinilah tempat paling sesuai untukmu mencari ketenangan. Menginap di penginapan lebih sepi seperti Voyager Boutique Creative Retreat mampu menenteramkan jiwa.
Kediaman ini dikelilingi sawah padi yang tampak indah di pagi hari. Penginapan depan kolam renang semestinya menjadi pilihan saya.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
3. DESA SENI VILLAGE RESORT
Bagi peminat yoga, di sini destinasi mahu kamu sertai. Studio sederhana dibina di dalam sebuah resort bertema desa dengan dekorasi cukup menawan. Saya pernah mencuba aktiviti yoga di resort dan situasinya sangat berbeza saat di kota.
Kita sering dikepung kamar konkrit yang kelam. Namun, yoga di desa semestinya perasaan lebih senang. Terutama sekali melakukannya di luar kamar berbumbungkan langit petang. Bunyi alam pasti lebih mendamaikan.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
4. KALAPA RESORT AND SPA
Pilihan rumah penginapan dikelilingi sawah padi. Resort sepi ini memang sesuai buat kamu hendak berbulan madu. Setiap rumah disediakan berbeza-beza keluasan dan dekorasinya. Kolam renangnya betul-betul di hadapan sawah.
Saya memilih menetap di sini pada kunjungan terakhir di Canggu. Memilih pula kediaman di depan kolam renang yang berpanorama sawah padi. Memang menyenangkan terutama petang hari saat minum petang tiba. Saya paling gemarkan pisang gorengnya yang sangat manis luar biasa.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
5. KEDIAMAN PERSENDIRIAN
Milik seorang teman dari Malaysia yang juga mencintai tanah Bali. Dia memiliki sebuah kediaman di Canggu dan sedia untuk disewakan. Memandangkan pemilik seorang pereka hiasan dalaman, semestinya kediaman ini sangat indah. Dua kamar disediakan dengan gaya dekorasi menawan dan mendamaikan.
Paling seksi adalah kamar mandinya dengan tab mandi yang menggoda. Tingkap terbuka memberi ruang mata merenung sawah luas di belakang kediaman. Sangat indah!
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
AKTIVITI PILIHAN
Semestinya meluncur bukan budaya terbesar di negara kita. Apa salahnya andai kamu belajar untuk meluncur di Bali. Semestinya kamu mampu mendapat kepakaran dengan belajar daripada mereka yang menyediakan kelas meluncur dengan harga Rp350,00 selama dua jam dengan tenaga pengajar. Manakala mahu menyewa papan luncur pula lebih kurang Rp50,000.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
Atau kamu mencari ilham baharu, jadi habiskan sahaja waktumu dengan santai di tepi kolam renang sambil menikmati teh hijau menyamankan. Membaca mungkin boleh menjadi hobimu. Saya sering membeli beberapa buku di kedai buku tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke hotel.
Mengunjungi tempat-tempat penuh kebudayaan seperti kuil di sekitar Canggu. Malah terdapat tarian yang memang menarik terdapat di Tugu Hotel setiap Khamis malam sambil menikmati makan malam di situ. Melihat pakaian kebudayaan setiap hari mereka pun sudah menarik, apatah lagi kostum tarian mereka.
Foto : Ihsan Marini Mat Zain
Istimewanya acara ini terbuka bukan sahaja kepada penginap di hotel, malah siapa-siapa sahaja yang datang untuk makan malam. Oh, jangan lupa aktiviti beramah mesra dengan penduduk setempat atau expatriates di situ. Mereka mungkin menjadi sahabat.
Canggu merupakan destinasi menarik untuk dikunjungi. Andai ini pengalaman pertama kamu, cubalah nikmati walaupun kunjungan sehari. Kerana bagi saya, kamu perlu kunjungi Canggu andai bercuti di Bali.
Foto : shutterstock