Nov 15, 2016 - 6306
Oleh:
KETIKA artikel ini ditulis, saya masih berpilis, berstoking dan sesekali menoleh si anak yang baru berusia 11 hari.
Ya, saya menerima amanah Editor saya, Rosie Haslinda yang mahu saya sendiri mewawancara Norjuma Habib Mohamed untuk halaman Profil kali ini. “You dah lama kenal dia. Tentu banyak yang boleh you tulis dari hati,” pujuk Editor. Saya anggap ia sebagai kepercayaan dan penghargaannya buat saya sebelum bercuti panjang.
Apa cerita ya wanita ‘permaisuri bawal’ ini? Siapa tidak kenal dia sejak memenangi pertandingan ‘Pengacara Jemputan Nona 2001’? Dan dia, antara pengacara Nona yang berjaya menggemilangkan rancangan itu sehinggakan saya sendiri waktu itu jarang-jarang tercicir untuk duduk menunggu di depan televisyen setiap petang Ahad.
Kerjasamanya dengan InTrend bermula apabila saya menghubunginya untuk ruangan Rahsia Bintang edisi September 2011. Tidaklah sukar untuk mendapatkannya. Tiada protokol. Tanpa perlu melintasi ‘orang bawahan’, terus sahaja panggilan disambutnya dan memberi kata setuju. Malah, tidak banyak kerenah sepanjang penggambaran dan wawancara berlangsung waktu itu, buat segala urusan menjadi mudah.
Lima tahun berlalu, dia kini saya wawancarai kembali, yang pasti dengan ruang kehidupan dan ceritera yang berbeza.
Teringat saya ketika itu, dia ada berkongsi impiannya untuk mencipta jenama tudung bawalnya sendiri. Sangka saya waktu itu, ia hanya impian perniagaan sampingan mengisi masa lapangnya sahaja, namun apabila dia memanjat setiap tangga perniagaannya dengan penuh ‘rakus’ dan agresif, ia membuktikan yang impiannya itu bukan main-main atau sekadar mahu ada ‘business card’.
Ia sebuah cita-cita, sejenis perjuangan yang sekali melangkah, tidak mungkin berundur lagi. Malah, keunggulannya sebagai pengasas Aidijuma, suri niaga dan suri teladan disegani hari ini mengaburi sedikit namanya sebagai pengacara satu masa dulu. Betapa besarnya pengaruh Norjuma sebagai ‘peniaga tudung’ hari ini!
Dalam banyak-banyak perniagaan, kenapa perniagaan tudung yang menjadi pilihan?
Inilah jenis perniagaan yang mudah untuk dimulakan. Jika perniagaan berasaskan makanan atau kosmetik misalnya, proses membangunkannya memakan masa lebih lama kerana perlu memohon lesen daripada kerajaan seperti daripada Kementerian Kesihatan dan sebagainya.
Memang banyak lagi perniagaan glamor lain yang boleh saya ceburi tetapi inilah perniagaan yang datang dari jiwa saya.
Mungkin tudung bawal bunyinya tidak seglamor mana tetapi saya fikir waktu itu tiada siapa lagi yang komersilkan tudung bawal ini dan saya sebagai pemakai tegar tudung bawal terfikir, mengapa tidak saya memulakannya?
Kalau ada yang beranggapan tudung bawal ini so yesterday, saya fikir kenapa tidak saya suntikkan elemen fesyen yang boleh digayakan ke hari ini?
Saya percaya, tiada seorang pun wanita berhijab di dunia ini yang tidak punya hatta sehelai tudung empat segi sebagai koleksi mereka. Hakikatnya, saya mengembalikan trend tudung empat segi dengan nafas lebih segar, dalam bentuk dan rekaan baru yang lebih fashion forward.
Salah satu dilema yang melanda perniagaan tudung adalah isu cetak rompak, komen Juma?
Masalahnya sekarang, kita tidak punya undang-undang atau penguatkuasaan yang betul-betul ketat mengenai isu ini.
Bagaimana untuk kita melawan si pencetak rompak tanpa adanya hukuman yang benar-benar jelas dan dilaksanakan secara tegas? Lebih malang lagi, si pencetak rompak sendiri tidak berasakan perbuatan mencetak rompak itu sebagai satu kesalahan jenayah. Bagi mereka, perbuatan meniru dan merompak hak orang itu sebagai sesuatu yang tidak ada salahnya. Jadi...?
Isu ini tidak berlaku dalam kalangan peniaga kecil sahaja. Ada juga label terkenal yang turut terseret dalam perbuatan ini tetapi menganggap pula rekaan kita bukan satu rekaan baru. Isunya jika mereka berasakan rekaan kita bukan rekaan baru, mengapa selepas kita mengeluarkannya baru mereka mahu mengikut?
Kenapa tidak dikeluarkan lebih awal daripada jenama kita?
Kenapa tidak dihakciptakan sahaja setiap rekaan Aidijuma?
Ia tidak semudah dicadangkan. Seperti yang saya katakan tadi, kalau dihakciptakan sahaja tetapi tanpa penguatkuasaan yang konsisten tidak guna juga.
Dalam berniaga, kita harus fikirkan pengurusan kewangan yang dilaburkan dan risiko serta pulangan yang diterima daripada hasil yang dilaburkan. Saya sendiri tidak mahu mengeluarkan bajet kepada sesuatu yang tidak memberikan impak positif selepas itu.
Pasaran tudung semakin hari semakin rancak dengan kemunculan banyak lambakan label baru, apatah lagi tudung bawal itu sendiri. Bagaimana Aidijuma mendahului setiap pesaing itu?
Satu masa dulu, tiada siapa percaya berniaga tudung mampu menjadi jutawan. Jujurnya, waktu mula-mula saya menceburi bidang ini, ramai yang sinis dengan usaha saya itu.
Bagi mereka, perniagaan tudung, perniagaan kampung. Mereka membilang menggunakan jari 10 mereka, berapa sahaja keuntungan yang boleh dimiliki saya dengan tudung bawal yang dijual sekadar beberapa ringgit sehelai?
Tetapi hari ini, mereka yang ‘banyak bercakap’ ini pula yang mula berdikit-dikit menjual tudung. Dan, akhirnya menjadikannya sumber pendapatan utama.
Berbalik pada persaingan tadi, beginilah, dalam perniagaan jika tidak mahu bersaing, ada baiknya berfikir dua kali jika mahu terus berniaga. Alang menjadi perempuan pun, banyak saingan, kan? (ketawa). Inikan pula dalam perniagaan.
Apa yang penting, kita buat dulu perniagaan yang orang lain tidak nampak lagi. Kita harus jadi pioneer.
Prinsip perniagaan Juma?
Perniagaan bukannya tentang apa yang kita jual tetapi bagaimana ia dijual? Ada yang berfikiran cetek meletakkan sesuatu perniagaan yang gah adalah perniagaan yang melibatkan item mewah. Kalau jual beg mewah itu lebih berjaya daripada menjual sehelai tudung kampung, lihat di mana perniagaan barangan mewah itu sekarang berbanding tudung kampung tadi?
Kita tahukah berapa banyak keuntungan yang dibuat tudung kampung itu berbanding beg mewah?
Ambil contoh ahli perniagaan yang benar-benar berminda bisnes, bagaimana mereka mengambil sesuatu yang tidak ada nilai di mata orang lain tetapi mereka sendiri mencipta nilai untuk item itu dan akhirnya ia menjadi begitu bernilai – being a creative people, renovate the items, plan the financial, do the right process, pick the efficient marketing tools and make it!
Juma selalu memperjuangkan ‘street style’ sebagai konsep utama Aidijuma, sedangkan Juma punya nama yang lebih gah untuk mencuba perniagaan yang lebih ‘class’?
Orang selalu beranggapan kalau seseorang itu datang dari latar belakang anak orang kaya, berstatus atau punya nama, mereka tidak layak untuk berkecimpung dalam perniagaan berharga murah. Sedangkan saya berniaga bukan untuk glamor.
Sebagai graduan perniagaan, saya tahu apa itu bisnes dan arif tentang proses sesebuah perniagaan. Perniagaan ini adalah hidup dan mati saya. Saya bukan berniaga ala-ala ‘lady of leisure’ yang berbisnes sekadar mahu menaikkan profil diri semata-mata.
Juma sendiri mengakui bahawa Juma seorang yang sangat teliti dengan segala perincian pengurusan perniagaan sehingga semua aspek Juma mahu sentuh. Adakah itu bermakna Juma seorang yang cerewet atau 'demanding'?
Dari hari saya merancang untuk membuka perniagaan, saya sudah tekadkan dalam hati saya mahu menjadi eksekutif, saya mahu buat daily jobs.
Anda jangan panggil diri anda orang bisnes jika tidak mahu melakukan daily jobs. Sebagai peniaga, saya bertanggungjawab dan menanggung risiko untuk setiap keputusan yang saya ambil. Justeru, saya perlu tahu setiap perincian proses yang berlaku pada setiap department perniagaan saya.
Kalau ada yang tanya, apa saya buat lima tahun kebelakangan ini, kerana jarang nampak saya di mana-mana event, saya kata saya tidak punya banyak masa terluang kerana saya bekerja day to night.
Saya tidak nampak perlunya saya menunjukkan apa yang saya buat dan saya tidak kisah orang tidak nampak apa saya buat kerana di hujung nanti, hasil kejayaan itu yang memberi jawapannya.
Saya ingin pencen pada usia 50 tahun dan waktu itu saya mahu menjadi pensyarah. Jadi, slot yang ada ini saya harus lakukan semuanya dengan baik. Hanya ini waktu yang ada untuk saya learn, study and grow. Hey, Steve Jobs dulu pun, buat product development. Ia bukan sebab saya nak menyibuk tetapi dah memang itu kerja saya untuk ambil tahu setiap perkara.
Jangan terkejut kalau ada kebocoran dalam perniagaan anda sendiri akibat daripada sikap peniaga yang berasakan tugas mereka hanya menjadi bos, hal lain diserahkan bulat-bulat kepada orang lain untuk diuruskan tanpa ada pemantauan.
Kenapa Juma sendiri yang menjadi pereka untuk setiap koleksi Aidijuma?
Hingga kini, saya tidak bertemu pereka yang mampu berfikir seperti seorang ahli perniagaan dan faham bahawa saya perlu ‘menyuapkan’ 200 pekerja dan lebih 200 reseller di bawah saya. Aidijuma bergerak pantas dan semua tahu koleksi kami sentiasa bersilih ganti saban bulan.
Jadi, jika saya perlu bergantung kepada ilham yang tak kunjung tiba, bagaimana Aidijuma mahu bergerak? Seseorang yang tidak ada latar belakang fesyen tetapi mampu berjaya dalam industri fesyen sebenarnya mereka faham bahawa fesyen itu bukan sekadar satu seni atau rekaan tetapi ia adalah tentang nombor, pengurusan masa dan perancangan kewangan.
Siapa ikon yang menjadi inspirasi Juma dalam perniagaan?
Dari dulu saya amat suka melihat orang yang bekerja secara harian dan yang grow secara konsisten dan bukan dengan pantas semata.
Satu ketika dulu saya pernah bercita-cita untuk menjadi Gabenor Bank Negara dan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ungku Zeti Akhtar Aziz antara idola saya. Beliau berprinsip, bahkan bekerja setiap hari. Saya langsung tidak tertarik kepada individu yang mengatakan bahawa mereka ahli perniagaan tapi hakikatnya ke tempat kerja pun tidak selalu.
Kalau ada yang kata Aidijuma mudah mendapat tempat di hati pelanggan kerana yang menjual dan memakainya adalah Norjuma Habib Mohamed, apa jawapan Juma?
Ermm... okey, saya tidak nafikan tetapi orang juga kena ingat, satu masa dulu orang tak pandang pun tudung bawal. Dan sekarang, kalau orang lain pun boleh tiru dan buat apa yang saya buat ini, itu bermakna penerimaannya bukanlah hanya kerana saya.
Saya juga bukan hanya duduk di depan skrin kamera, saya juga menguruskan perniagaan saya sendiri. Saya amat suka duduk melakukan urusan pemasaran, menguruskan kewangan syarikat dan apa saja yang melibatkan urusan bisnes saya.
Namun, apa jua bisnes, ada satu ketika orang tetap nak tahu siapa individu yang berada di belakang sesebuah jenama itu dan kerana itu adakala saya perlu ke depan untuk menjadikan jenama saya lebih dekat dengan pelanggannya.
Cabaran paling besar dalam menguruskan perniagaan?
Cabaran paling besar adalah mencabar diri sendiri, hahaha. Sangat mencabar apabila anda terpaksa mendesak diri sendiri untuk bangun pagi, bersiap ke tempat kerja pada ketika anda tidak punya mood untuk melakukannya. Adakala, kita perlu melakukan sesuatu secara paksaan, ada ketika layan sahaja emosi yang terganggu itu.
Nasihat Juma kepada orang yang mahu berjinak dalam dunia perniagaan?
Tanyakan kepada diri sendiri adakah anda benar-benar bersedia untuk berdepan dengan cabarannya? Bekerja sendiri, mula bekerja seawal pagi dan tutup kerja ke lewat malam?
Ramai yang salah tafsiran mengenai dunia perniagaan. Ada yang beranggapan membuka perniagaan adalah titik tolak untuk bekerja secara bebas tanpa kongkongan. Salah.
Perniagaan bukan bererti melepaskan diri daripada bebanan kerja bawah orang. Sebagai bos, adakala orang bekerja untuk kita tetapi banyaknya kita bekerja untuk orang terutamanya untuk pekerja kita sendiri. Belajar untuk membuat keputusan saban hari, bekerjalah setiap hari.
Apa lagi impian Juma terhadap masa depan Aidijuma?
Saya ingin memiliki scarf shop di setiap bandar utama di seluruh dunia. Jika tali leher atau stoking pun mampu memiliki kedai tunggal menjual barangan itu sahaja, saya juga mahu adanya kedai yang hanya menjual skarf di seluruh dunia. Saya mahu setiap kali orang berkata tentang skarf, orang terus teringatkan Aidijuma dan Blossom Box Store.
Jika membeli baju, orang akan ke Zara atau H&M, mengapa jika tudung mereka memilih kedai di tepi-tepi jalan sahaja? Saya mahu adanya satu persepsi baru dalam pembelian tudung dalam kalangan wanita bahawa tudung juga perlu punya label tersendiri.
Asyik bercakap perihal perniagaan, tidakkah sesekali terlintas rasa rindu untuk kembali mengacara?
Ramai yang tanya soalan itu, persoalan saya pula, ada ke orang yang rindu untuk melihat saya kembali beraksi? Apabila sudah berkeluarga, setiap keputusan bukan hanya daripada kita sendiri. Banyak perkara dan pihak yang perlu difikirkan. Saya gembira dengan apa yang saya lalui sekarang.