Nov 24, 2016 - 7316
Oleh:
KISAH lelaki berkuda ini mungkin sedikit sebanyak mampu memberi inspirasi kepada kita. Kuda juga sebenarnya memiliki jiwa dan perasaan yang perlu dipelihara. Ayuh kita ikuti jejak lelaki ini yang berasal dari Kelantan. Mohd Yazid bin Mohd Nor, 31. Lebih selesa disapa sebagai Ajid, kini dia terus berusaha keras ingin memajukan sukan berkuda di kampung halamannya.
“Bermula dengan minat sejak kecil, saya menyimpan hasrat untuk miliki kuda sendiri. Kuda pertama saya dihadiahkan oleh ayah ketika saya berumur 11 tahun. Agak kekok ketika itu kerana memelihara haiwan yang bersaiz besar. Maklumlah, perasaan teruja, bercampur-campur perasaan takut, risau dan berdebar-debar. Tapi dengan tunjuk ajar keluarga, saya kini memiliki lapan ekor kuda bernilai RM20,000 seekor,” ujarnya.
Cabaran memelihara kuda, boleh Ajid kongsikan?
Cabarannya ternyata daripada segi penjagaan yang memakan kos yang tinggi. Untuk seekor kuda, saya sediakan bajet RM200 sebulan, jadi cuba anda darabkan dengan lapan ekor? Nilainya ternyata lebih mahal daripada sekampit beras.
Untuk pengetahuan semua, kos wang ringgit dalam menjaga kuda bukan halangan utama. Kita sebenarnya perlu berdepan dengan risiko menggadaikan nyawa. Kuda juga sama seperti manusia. Ia memiliki nyawa, dan ia juga memiliki jiwa yang perlu dipelihara. Kadangkala apabila kuda merajuk, bukan senang nak pujuk.
Pernah satu ketika kuda saya merajuk lalu menendang paha sebelah kiri saya. Mungkin emosinya ketika itu berkecamuk dek perlawanan lumba yang bakal tiba. Sakitnya Tuhan sahaja yang tahu, bolehkah anda bayangkan tujahan itu sekuat mana?
Tapi alhamdulillah, tiada tragedi patah-riuk berlaku kepada saya. Istilah terseliuh, terkehel itu adalah perkara biasa dalam rutin menjaga seekor kuda, inikan pula saya yang menjaga lapan ekor kuda. Semuanya perlu dijaga dengan selamat dan sama rata.
Antara perkara pelik yang Ajid pernah buat sepanjang membela kuda?
Ajid pernah ponteng kuliah semasa menuntut di UKM Bangi, sanggup menderu balik ke Kelantan kerana terlalu rindu dengan kuda Ajid. Bagai rindu dengan kekasih pulak (ketawa).
Tapi itulah yang dinamakan minat. Bukan soal wang ringgit yang dinantikan, hanya kepuasan apabila melihat kuda saya beraksi dengan gagahnya di pentas lumba.
Kata orang, minat berlumba kuda samalah macam kita berjudi lumba kuda? Komen?
Ramai yang terlalu skeptikal tentang aktiviti berkuda dan mengaitkannya dengan berjudi. Saya menolak dakwaan itu kerana budaya Barat sebenarnya telah banyak memberi nilai negatif terhadap sukan ini.
Kami mengadakan lumba kuda untuk mencipta aktiviti di kampung ini, antara tujuannya adalah untuk melahirkan generasi muda yang lebih sihat. Malah sebahagian daripada hadiah yang diterima, kami salurkan kepada badan kebajikan. Ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan.
Jika saya ingin membela kuda misalannya, apa nasihat Ajid?
Mungkin ramai sedia maklum bahawa nilai harga seekor kuda mampu mencecah ribuan ringgit. Purata dalam setahun, saya akan pastikan kuda saya melahirkan anak kuda dua kali. Ternyata permintaan terhadap kuda di negeri Kelantan semakin meningkat. Ramai yang mula minat dengan kuda dan dalam masa yang sama kesedaran untuk melaburkan duit dengan memelihara seekor kuda juga semakin tinggi.
Kesedaran terhadap pentingnya aktiviti berkuda ini juga sebenarnya pernah disebut dalam Al-Quran, malah Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda), dalam hadis Riwayat Muslim.
Ceritakan sikit, bagaimana gelombang aktiviti berkuda di Kelantan sekarang? Dengar cerita makin rancak?
Majoriti masyarakat Kelantan gemar dengan aktiviti berkuda dan kebanyakan daripada mereka memiliki kuda sendiri. Oleh, itu kami bersepakat menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Sukan Berkuda Amatur Kelantan. Saya memegang jawatan sebagai Setiausaha dalam persatuan tersebut dan kami merangka aktiviti untuk setiap tahun.
Oleh kerana minat yang mendalam, kita merangka semuanya sendiri-sendiri. Dari tapak perlumbaan hinggalah pada inisiatif menyediakan penghadang litar dan hadiah, kami berpakat-pakat keluarkan duit sendiri.
Apa harapan Ajid?
Saya sebenarnya seronok jika lebih ramai generasi muda sertai aktiviti sebegini. Mungkin kos perbelanjaan agak mahal. Tapi bagi saya, ini juga merupakan satu bentuk ‘investment’ bagi golongan muda. Besar harapan saya, inisiatif mengharmonikan masyarakat menerusi sukan berkuda ini mendapat perhatian serta sokongan pihak kerajaan mahupun swasta. Jika mereka faham apakah keindahan manfaat sukan berkuda ini, saya yakin, orang pasti berpusu melestarikan sukan ini.
INI INFO MENARIK TENTANG MENUNGGANG KUDA
TAHUKAH ANDA... Mengapa aktiviti berkuda itu bagus?
Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.
TAHUKAH ANDA... Apa kaitan berkuda dengan tulang belakang manusia?
Bentuk lekuk badan belakang kuda baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.
TAHUKAH ANDA... Mengapa rentak kuda melompat bagus untuk kita?
Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, ia boleh menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni lantas merangsang saraf-saraf tulang belakang. Kerana itu ada disebut, orang yang mengalami sakit tulang belakang disarankan agar mencuba sukan berkuda sebagai salah satu alternatif rawatan yang mujarab.