Nov 25, 2016 - 1944

"Suami Isteri Jangan Ego. Kalau Salah, Sama-sama Tegurlah Dengan Baik..." — Fizo Omar

Tawakal dengan jodoh yang ditakdirkan, pasangan ini berikrar untuk teguh dalam mendepani gelora rumahtangga.

 

Oleh: Norhaizan Ahmad

 

 

NYATA, Mawar Abdul Karim dan Fizo Omar sedang berbahagia menyulam cinta kerana bercinta selepas berkahwin mencipta kemanisan tersendiri dalam kehidupan suami isteri.

Perkenalan yang singkat sebelum berkahwin membuatkan mereka tidak berpeluang untuk bercinta-cinta seperti pasangan lain. Proses alam rumahtangga itu bagi mereka adalah masa untuk mengenali pasangan. 

 

 

Wujudnya perkahwinan adalah untuk melengkapkan satu sama lain. Saya ada kekurangan saya, begitu juga dengan Mawar. Tetapi sebagai pasangan suami isteri kita kena buang ego masing-masing dan terima pasangan seadanya. Dan bagi saya inilah masa untuk kita memperbaiki kelemahan masing-masing.” 

“Masih terlalu awal untuk berkata-kata manis. Namun sebagai pemimpin, suka atau tidak, saya kena tegur kekurangan yang ada pada isteri. Saya pun kena buka ruang bukan sahaja kepada isteri, tetapi kepada keluarga saya dan keluarga mentua untuk menegur kelemahan saya,” ujar Fizo kala ditanya mengenai rumahtangga yang dikemudikannya.  

 

 

Mawar pula mengakui bahawa dirinya masih muda. Justeru, banyak perkara perlu dipelajari terutama daripada ibunya mengenai peranan sebagai isteri. Pun begitu, dia tidak bimbang melakukan kesilapan lantaran berasa dirinya masih dalam proses pembelajaran. Untungnya Mawar tinggal bersebelahan rumah ibu bapanya, segala tunjuk ajar diperoleh dengan cepat. 

 

 

 

REZEKI DAN PENGORBANAN 

“Beruntungnya kerana kami berdua terlibat dalam bidang perniagaan, jadi banyak perkara yang boleh dikongsi sama iaitu susah senang menangani sepak terajang dunia perniagaan. Saya dengan perniagaan burger, Mawar dengan Tudung Fareeda. Alhamdulillah, rezeki berkahwin memang ketara. Misalnya Tudung Fareeda kini memiliki lapan cawangan. Perniagaan burger saya juga sudah bertambah 150 gerai di seluruh negara.” 

 

 

“Kata orang akan ada rezeki buat pasangan yang berkahwin. Percaya kepada rezeki masing-masing jikalau rajin berusaha juga menyedari komitmen selepas berkahwin mendorong saya untuk fokus pada kerja juga keluarga baru. Ia seolah-olah membakar semangat saya untuk bekerja keras. Dan hasilnya tak sampai setahun, kami dilimpahi kebahagiaan juga rezeki di luar jangkaan,” ujar Fizo sambil mengucapkan syukur atas rezeki yang dilimpahi kepadanya dan isteri. 

 

 

Berbicara fasal pengorbanan, Fizo berkata, “Pada awal perkahwinan, benda baru yang saya perlu jaga adalah aktiviti seni saya. Saya juga ada tanggungjawab baru dalam membantu melancarkan perniagaan Tudung Fareeda, di sini saya hanya bantu apa yang boleh saya bantu kerana kepakaran dalam urus niaga ini sudah ada pada ibu bapa mentua. Dalam masa sama, saya fokus untuk bangunkan perniagaan burger saya.” 

“Ya, perkahwinan itu memerlukan pengorbanan. Dan saya lakukannya dengan berehat seketika daripada dunia seni. Sedar tak sedar, sudah dua tahun saya berehat daripada berlakon. Sebagai anak seni, siapa yang tidak rindu untuk berlakon? Siapa yang tidak rindu sama peminat? Tetapi saya terpaksa korbankan passion saya demi perkahwinan dan perniagaan ini.” 

 

 

 

 

CABARAN ISTERI SELEBRITI 

Mawar pula berpendapat, dia perlu korbankan masa mudanya dengan perkahwinan ini kerana percaya apa yang dirancang oleh ibu bapanya adalah yang terbaik buatnya. Apatah lagi memegang status isteri selebriti, ia memberi tekanan cukup berat. Pun begitu, dia berfikiran positif dan yakin rumahtangga yang dibina memberi kebahagiaan tidak berbelah bagi. 

 

 

“Sebelum berkahwin, saya sudah pun dikenali dengan produk Tudung Fareeda apabila menjadi duta kepada jenama ini. Antara kontroversi yang pernah saya depani ketika itu apabila masyarakat mempertikaikan potongan tudung kami yang tidak menepati syariat. Sebenarnya mereka yang membuat tuduhan itu tidak tahu pun fasal rekaan tudung kami."

Walhal tudung yang kami tawarkan ada pelbagai saiz, ada saiz untuk golongan remaja, ada saiz untuk wanita dewasa. Jadi sebagai pengguna mereka perlu pilih saiz yang sesuai dengan diri. Kalau dah salah pilih jangan pula salahkan kami. Namun rata-rata pengguna Tudung Fareeda berpuas hati dengan produk yang mereka beli.”  

 

 

“Apabila menjadi isteri Fizo Omar sudah tentu kehadiran saya di mana jua diperhatikan. Menyedari hakikat itu, saya sudah bersedia daripada segi mental jikalau dilemparkan dengan pelbagai kontroversi dunia seni juga yang berkaitan dengan perniagaan yang kami usahakan,” jelas Mawar. 

Fizo pula menambah, “Memandangkan saya adalah selebriti maka tempias kontroversi pasti dirasai oleh Mawar. Adatlah, apabila benda bertambah besar, bertambah popular atau bertambah naik, pasti akan terpalit kontroversi tidak kira dalam bidang apa pun.” 

 

 

“Tetapi saya suka melihat kontroversi ini daripada sudut yang positif. Apabila ada kontroversi sebenarnya kita diberi ruang untuk menjelaskan duduk perkara sebenar. Maka masyarakat akan lebih terdedah dengan informasi mengenai Tudung Fareeda misalannya. Sekali gus memberi peluang kepada perniagaan ini untuk terus berkembang maju.” 

 

 

“Saya juga perlu ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pihak media. Bak kata Fizo, kalau saya nak ‘masuk’ ke dalam dunia seni, tidak boleh terlalu mengejut. Kena perlahan-lahan untuk memahami erti sebenar entertainment life. Apa yang saya pegang selama ini, kalau saya ikut suami ke mana-mana majlis seni, saya sekadar mempromosikan Tudung Fareeda,” ujar Mawar. 

“Inilah harga yang perlu kami bayar sebagai selebriti. Pada saya, inilah warna kehidupan, apabila hidup kita penuh dengan warna-warni maka kehidupan ini lebih menarik daripada polos semata-mata,” ujar Fizo sambil mengakhiri perbualan. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    "Kalau Zira Nak Gelak, Zira Ikut Nabil Pergi Show, Boleh Gelak Puas-puas” — Nazira Ayub

  • Seterus →

    Norman Hakim Kongsi Rahsia Bagaimana Dia Transform Jadi 'ABANG SADO'