Dec 01, 2016 - 2661
Oleh: Huda Hussain
BIARPUN sudah berkeluarga, azam Norman Hakim, mahu menjadikan senaman dan amalan pemakanan yang betul sebagai teras kehidupan ke arah mencapai gaya hidup yang lebih sihat.
Sejak bila mula prihatin tentang isu penjagaan tubuh?
Sebelum penglibatan saya dalam dunia seni, saya memang meminati bidang sukan. Justeru, senaman sudah sebati dengan diri. Sejak pertengahan Mei 2009 saya mula meneruskan konsistensi dalam bidang ini. Sebelum menceburi bidang peragaan dan lakonan, dahulunya saya aktif dengan sukan bola sepak dan terlibat sebagai atlit junior Malaysia dalam olahraga 400 meter lari berpagar.
Maka, penjagaan kesihatan fizikal dan pemakanan sudah sebati dengan diri saya. Hinggakan saya memilih untuk membuka pusat gimnasium sendiri kerana inilah minat dan cinta saya.
Bagi saya pendekatannya cukup mudah, jika anda menjadikannya sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan berupaya melakukannya secara konsisten pasti tidak memberi tekanan atau bebanan.
Adakah bertubuh sasa sesuatu yang seksi. Komen Norman?
Bagi saya terma atau anggapan demikian datang tanpa disedari. It grows naturally. Berdasarkan pengalaman, saya sendiri tidak menyasarkan matlamat untuk memiliki susuk tubuh yang membuatkan sesiapa beranggapan saya kelihatan seksi. Tetapi impak selepas aktif bersukan dan bersenam, kepuasan yang saya rasai adalah apabila saya memahami keperluan tubuh.
Bahagian mana yang perlu diberi fokus untuk sesuatu pergerakan atau senaman dan sebagainya. Selebihnya saya melihat pendekatan ini sebagai satu pendedahan yang membantu saya untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Menerusi bidang ini, saya mendapat kepercayaan ramai pihak yang mahukan saya berkongsi ilmu bersama mereka.
Saya diundang untuk menyampaikan ceramah, berkongsi ilmu bersama pelajar-pelajar kolej, universiti, pihak swasta dan korporat. Semuanya berkisarkan kepada amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti kecergasan dan senaman juga amalan pemakanan yang betul.
Sejauh mana Norman melihat rutin ke gimnasium memberi kepuasan?
Bagi saya cukup mudah, apabila kita menjadikannya sebagai suatu perkara sebahagian daripada gaya hidup yang bukan sahaja merangkumi senaman malah pemakanan sekali gus kita sebenarnya sudah mempraktikkan amalan gaya hidup sihat. Soal pemakanan dan senaman sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia mempunyai kaitan.
Tidak bermakna jika anda bersenam tetapi tidak menjaga pemakanan dan begitu juga sebaliknya. Apabila kita bersenam dan menjaga pemakanan, secara tidak langsung tubuh akan menjadi lebih proaktif dan dalam masa sama diri kita juga akan lebih produktif menyempurnakan setiap tugasan. Itulah kepuasan yang saya rasakan sejak mula bersenam hingga sekarang.
Rutin senaman dan pemakanan sekarang?
Walaupun memiliki gimnasium sendiri, ironinya saya jarang bersenam di gimnasium sendiri. Saya hanya ke sana untuk melakukan tugas-tugas yang berkaitan dengan soal perhubungan awam,pemasaran,merangka kertas kerja selain mengadakan perjumpaan bersama rakan kongsi. Saya akan bersenam di merata-rata gimnasium kerana bagi saya rutin seperti bersenam dari satu gimnasium ke gimnasium yang lain tidak membosankan.
Bagi rutin senaman harian pula, setiap hari selepas menghantar anak-anak ke sekolah, saya akan luangkan masa sekitar satu jam atau satu jam setengah untuk bersenam. Saya akan lakukan senaman kardio dan menyasarkan untuk membakar 500 kalori setiap hari. Secara purata setiap hari, saya akan mengambil kira-kira 2000 hingga sekurang-kurangnya dua minggu untuk memastikan penampilan fizikal berada pada tahap terbaik.
Saya akan lakukan senaman kardio pada waktu pagi dan weight work out pada waktu malam untuk memastikan lemak pada tubuh dikurangkan pada kadar 10 hingga 12 peratus. Barulah timbul urat-urat, otot lebih pejal dan kelihatan tubuh lebih maskulin! Hahaha...
Cabaran yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan susuk tubuh seperti kini?
Tidak semua mampu berubah berotot besar. Malah ada kalanya apa yang dilakukan tidak menjadi tetapi itu bukan penghalang untuk kita mudah berputus asa. Bagi saya cabarannya adalah diri kita sendiri kerana dalam bersenam dan selok- belok membina otot memerlukan fokus, hidup yang pada akhirnya anda akan menikmatinya. Biarpun lambat tetapi hasilnya pasti menggembirakan. Tak percaya, cubalah!
Adakah pengambilan makanan tambahan membantu untuk mendapatkan susuk tubuh seperti kini?
Pada permulaannya saya tidak menafikan ia amat membantu dan kepada mereka yang baru berjinak membina otot disarankan untuk mengambil suplemen. Tetapi selepas anda melihat perubahan dan memahami keperluan tubuh, elakkan daripada mengambil suplemen berlebihan kerana bimbang ia akan mempengaruhi tahap kesihatan.
Sekarang, saya lebih fokus kepada pengambilan multivitamin fat burner, Ephyra M2Flex selain whey powder (protein 2500 kalori dalam pemakanan. Senaman kardio yang saya lakukan merangkumi treadmill, spinning dan stepper. Selebihnya saya akan memerlukan tenaga untuk melakukan tugasan-tugasan lain bergantung kepada apa yang telah dirancang.
Jika saya terikat dengan sesi fotografi atau penampilan di televisyen misalnya, saya memerlukan tempoh kesungguhan dan disiplin yang tinggi. Jika anda sudah membayangkan susuk tubuh yang diimpikan jadikannya sebagai pembakar semangat yang akan membawa kepada disiplin diri dan konsistensi . Contoh, jika anda mahukan six pack jangan sekali-kali mudah mengalah.
Teruskan bersenam dan jika anda serius untuk melakukannya, jadikan ia sebagai salah satu daripada gaya dalam bentuk serbuk). Dan kuantitinya saya kawal kerana jika diambil berlebihan akan membuatkan tubuh saya kelihatan lebih besar. Ini juga tidak bagus untuk penampilan saya.
Bilakah masanya Norman ‘cheat diet’ atau ‘cheat work out’ ?
Jika dahulu sewaktu bergelar atlit, cheat meal saya dalam seminggu hanya sehari sahaja. Dan jika saya bawa keluarga pergi bercuti (ke Korea hujung tahun lalu) hampir setiap hari saya cheat meal (ketawa). Dek kerana cuaca yang sejuk, saya cepat rasa lapar. Tetapi apabila kita sudah faham kondisi diri, sebenarnya aspek pemakanan masih boleh dikawal biarpun ketika cuaca sejuk.
Tambahan pula kadar metabolisme saya tinggi dan perlu kerap makan tetapi dalam kuantiti yang sederhana. Misalnya antara waktu sarapan hingga makan tengah hari, selain waktu makan tengah hari hingga makan malam dan antara waktu makan malam hingga waktu supper saya akan makan sesuatu bagi mengelakkan kelaparan melampau yang membuatkan saya akan makan lebih banyak apabila tiba waktu makan yang utama. Cheat work out pula jarang berlaku kerana seboleh mungkin saya akan pastikan tubuh mengeluarkan peluh setiap hari.
Perkara paling ekstrem yang pernah dilakukan sepanjang aktif bersenam?
Sekitar 2010, saya bersama empat rakan yakni Sam Adnan, Aidid Marcello, Steve Rahman Hughes dan Chef Riz pernah mencabar sesama kami. Cabarannya adalah sesiapa yang berjaya mengurangkan lemak kurang daripada 10 peratus, dia akan menang. Maka bermulalah cabaran antara kami.
Bagi memastikan saya tidak tercicir daripada memenangi cabaran ini, saya hanya makan epal hijau sahaja bermula dengan sarapan, makan tengah hari, minum petang hingga makan malam. Ya, hanya epal hijau sahaja yang menjadi menu utama saya sepanjang sesi cabaran berlangsung sehinggakan pernah rasa muak melihat makanan segera seperti McDonald, Kentucky Fried Chicken dan sebagainya.
Sepanjang hari, bermula siang hingga malam kami bersenam di sebuah gimnasium di Phileo Damansara. Hinggakan kami semua tidur di sana, celik mata sahaja terus bersenam, rehat sebentar dan bersenam lagi. Pendek kata, semua yang kami lakukan hanya di gimnasium. Itulah salah satu perkara paling ekstrem pernah saya lakukan dalam bersenam.
Saya bersama Sam Adnan berjaya mengurangkan lemak sebanyak tujuh peratus dan habuannya mereka yang lain terpaksa open table buat kami. Dan saya melantak makan bersungguh-sungguh sehingga 11 pinggan! (ketawa).
Sejauh mana Norman obses dengan aktiviti kecergasan atau senaman?
Seratus peratus, malah jika ada angka yang lebih lagi begitulah banyaknya peratusan obses saya terhadap aktiviti kecergasan atau senaman. Dek kerana obses, saya pernah mengimpikan untuk membina sebuah gimnasium di dalam kontena yang boleh bergerak ke mana sahaja.
Dan secara tidak langsung, saya boleh menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Selain itu, tahap obses saya adalah apabila belum habis bersenam untuk hari ini, saya sudah teruja untuk menyambung senaman lain pada keesokan hari.
Banyak berbelanja untuk keperluan bersenam?
Apa jua yang berkaitan dengan sukan, itulah minat saya. Saya tidak menetapkan jumlah wang tertentu untuk berbelanja membeli kasut atau baju saban bulan. Tetapi apabila keluar, sekali beli pernah mencecah 20 helai!
Saranan kepada InTrenders, mengapa perlu mula fokus dalam soal penjagaan badan dan kesihatan?
Jangan jadikan hal penjagaan badan dan kesihatan sebagai satu bebanan atau tekanan sebaliknya fikirkannya sebagai satu gaya hidup. Gaya hidup sihat menjanjikan banyak manfaat. Penampilan diri yang menarik misalnya aspek kesihatan sebenarnya melambangkan penjenamaan diri anda. Tidak kira dalam apa jua bidang yang anda ceburi, lihat ketrampilan diri sebagai modal insan untuk meyakinkan diri sendiri dan orang lain.
Misalnya apabila orang lain melihat anda lebih presentable, mempunyai tubuh yang fit sekali gus dapat memberikan mesej bahawa anda mengamalkan gaya hidup yang sihat dan berdisiplin. Jangan mudah berputus asa, fokus untuk terus bersenam dan anda akan nikmati hasilnya.