Jan 05, 2017 - 1888
Oleh: Nurul Huda Hussain
UQASHA dilihat antara artis yang tiba-tiba berhijab dan berani membuat penghijrahan pada usia yang muda dan dalam situasi kerjaya yang masih hijau. Mengapa dan bagaimana punya kekuatan waktu itu juga mengapa mengambil keputusan untuk berhijab ketika itu?
Ketika itu niat saya memakai tudung kerana faktor diri sendiri. Ia bukan kerana paksaan daripada sesiapa atau kerana sesiapa. Dan pada pandangan saya ketika tiga tahun lalu, jika saya memakai kerana dipaksa, ia tidak akan kekal.
Saya mahukan yang terbaik untuk diri saya dan jika boleh, saya mahu ia berterusan. Saya harap orang mendoakan yang baik-baik untuk saya. Namun tidak saya rancang, ia tergelincir di pertengahan jalan.
Ada yang berkata Uqasha berhijab kerana cinta, komen?
Seperti yang saya jelaskan tadi, soal bertudung ini soal dari hati dan nawaitu sendiri. Ia bukan semudah yang disangka atau dipaksa- paksa. Mungkin, kebetulan saat berhijrah itu saat saya sedang ‘berkawan’, jadi orang semudah itu mengaitkannya. Orang boleh berkata apa sahaja dan menjadi hakim untuk menilai seseorang menerusi teori mata kasar mereka.
Hakikatnya hanya kita dan yang di atas sana tahu, sejauh mana keikhlasan kita melakukan sesuatu itu. Apa pun orang nak kata, katalah. Yang penting, penilaian akhir nanti bukan daripada mereka pun.
Saya maklum mengenai komen-komen berbisa yang diberi dan sering ‘memenuhi’ Instagram saya. Dan saya tidak punya kuasa untuk mendiamkan mereka. Jika itu yang memberi kepuasan kepada mereka, silakan. Selebihnya saya anggap ini sebagai ujian dan asam garam bergelar selebriti masa kini.
Sepanjang tempoh tiga tahun tampil dengan imej berhijab, jika Uqasha boleh rungkaikan bagaimana perasaannya?
Saya tidak nafikan, kita sebagai manusia pasti ada memasang niat untuk cuba menjadi yang lebih baik. Begitu juga dengan saya. Ada ketenangan yang saya rasakan apabila memakai tudung. Dan saya akui apabila seseorang wanita itu memakai tudung, maka lebih menyerlah kecantikannya. Tetapi sepanjang perjalanan menuju ke arah itu, saya melalui pelbagai ujian yang mungkin orang di luar sana tidak tahu.
Misalnya sejak sebelum berhijab lagi, saya banyak berhadapan dengan situasi di mana saya sering dikecam, dihentam dan bermacam-macam lagi. Sehinggakan saya merasakan bahawa setiap apa yang saya lakukan semuanya salah di mata umum. Terlalu mudah mereka mengadili dan menghakimi. Namun sebagai manusia dan selebriti yang bergelumang dalam dunia ini, saya harus kuat. Apa yang saya lakukan adalah untuk diri sendiri.
Biarlah apa jua yang cuba mereka katakan, yang penting segala yang berlaku adalah antara saya dengan Allah. Saya hidup untuk diri sendiri dan saya tahu ia untuk kebaikan diri dan untuk keluarga saya.
Ramai yang terkejut dengan keberanian Uqasha kembali ke imej lama. Uqasha dikecam teruk. Bagaimana terdetik atau terlintas mahu kembali dengan imej seperti sekarang?
Tidak saya nafikan mulanya agak kekok dan janggal. Pelik rasanya apabila melangkah keluar dari rumah tidak memakai tudung. Yalah, saya mulanya tidak bertudung kemudian bertudung dan kini kembali tidak bertudung.
Mungkin ini dugaan untuk saya. Saya mahu lebih transparent dan tidak mahu menjadi orang lain hanya semata-mata mahu menjaga hati sesiapa. Saya tidak mahu berpura-pura. Saya cuma mahu menjalani kehidupan seperti biasa dan melakukan apa yang diingini untuk diri sendiri. Itu sahaja.
Kritikan demi kritikan dilemparkan kepada Uqasha, apa yang Uqasha ingin jelaskan agar semua bisa memahami atau Uqasha lebih senang untuk berdiam diri?
Apa jua komen yang diberikan kepada saya, saya terima baik dan buruknya. Biarlah mereka mahu berkata apa sekalipun mengenai perihal diri saya. Bagi saya buat masa ini, saya tidak mahu menerangkan atau memperincikan mengapa saya bertindak sedemikian.
Dan saya percaya semua orang mempunyai pemikiran dan tanggapan masing-masing. Tidak timbul isu saya mahu mempertahankan apa-apa. Apa yang saya putuskan adalah untuk diri saya sendiri. Saya tidak mahu hipokrit atau hidup dalam keadaan yang saya sendiri tidak selesa.
Jika ada yang beranggapan Uqasha mementingkan diri sendiri, apa komen anda?
Apabila saya mengatakan saya lakukan semua ini demi memenuhi kehendak sendiri, tidak bermakna ada sesiapa yang terusik dengan keputusan itu dan saya yakin ia tidak menyentuh mana-mana pihak pun. Ini tentang diri saya sendiri.
Saya sudah letih untuk menjaga hati orang sahaja. Berilah peluang untuk saya menjadi diri sendiri dan doakan yang baik-baik, semoga ada jalan yang lebih baik untuk saya selepas ini.
Apa perasaan Uqasha kala membaca komen dan kritikan netizen. Sedih, geram, marah atau tertekan?
Sejujurnya saya tahu apabila pada mulanya saya cuba bertudung dahulu, saya mahu lakukan sesuatu yang lebih baik untuk diri saya sendiri. Dan selepas isu ini, saya cuba mengelak daripada membaca semua komen-komen di laman sosial misalnya. Kerana pada saya, jika saya membacanya ia hanya akan melunturkan semangat, membuatkan saya down dan sebagainya. Bukan bermakna saya takut atau tidak berani menerima kecaman tetapi biarlah saya tidak tahu daripada membaca dan memikirkannya satu persatu.
Pada saya, daripada perspektif lain; mungkin itu ‘harga’ yang patut saya ‘bayar’ atas setiap tindakan yang saya ambil. Dan itu juga sebahagian daripada ujian dan dugaan bergelar seorang selebriti. Apa yang jauh lebih penting adalah bagaimana saya harus mendepani semua ini. Biarlah saya perbetulkan diri terlebih dahulu. Ini masanya untuk saya tenangkan fikiran dan perhalusi daripada segenap sudut.
Tidak semua sekuat Uqasha untuk mengharungi ujian ini. Uqasha sendiri, bagaimana mengumpul kekuatan untuk mendepani semua ini?
Pada saya ia terletak pada diri saya sendiri kerana saya tahu apa niat saya, mengapa saya memilih untuk tampil seperti hari ini dan sebagainya. Kekuatan itu juga datang daripada keluarga yang sentiasa bersama saya memberi sokongan, memahami dan mendoakan saya.
Lebih penting adalah, apa yang perlu dan akan saya lakukan selepas ini kerana ia berbalik kepada niat saya. Tentang apa yang dicakapkan orang mengenai diri saya, itu saya ketepikan terlebih dahulu.
Saya maafkan sesiapa jua yang berkata-kata mengenai perihal diri saya. Saya hanya mahu fokus kepada perjalanan karier selepas ini. Pada saya, itu lebih penting dan mengatasi segalanya. Ini bidang yang saya minati dan saya mahu teruskannya selagi saya diperlukan.
Biarpun sudah tidak bertudung tetapi penampilan diri masih tetap dijaga. Adakah Uqasha memilih untuk tidak terlihat terlalu ‘daring’ dan seksi atau takut dikecam lebih teruk?
Alhamdulillah, kalau ada yang memandang saya begitu. Membuka tudung bukanlah lesen untuk saya menayang tubuh atau berpenampilan seksi pula. Dan bukan juga memberi kebebasan untuk saya lakukan perkara lain. Bukan itu tujuan saya pun. Apa yang saya pakai adalah apa yang saya rasakan selesa.
Kalau tidak selesa, memang saya cuba elakkan walaupun diminta oleh sesiapa atau tuntutan kerja. Begitu juga daripada segi karier. Dengan imej sekarang, tidak bermakna saya boleh lakukan atau bawa sesuatu watak sesuka hati. Masih ada garis dan batas yang perlu saya jaga dan fahami. Cukuplah, jangan terus menghukum dan membuat andaian.
Adakah dengan imej sekarang membantu Uqasha menerima tawaran berlakon yang lebih luas skopnya berbanding imej dahulu, kongsikan?
Saya percaya dan berpegang kepada rezeki Allah. Tidak pernah terlintas di fikiran saya dengan imej seperti hari ini akan membuatkan saya menerima tawaran yang lebih banyak atau membolehkan saya melakonkan watak yang lebih bebas. Jika rezeki saya tertulis untuk sesuatu tawaran misalnya, maka itulah yang akan saya peroleh.
Saya tidak pernah merancang atau merangka strategi sama sekali untuk membuka tudung bagi membolehkan saya melakonkan watak yang lebih bebas pergerakannya berbanding imej bertudung sebelum ini. Biarlah apa jua yang saya terima selepas ini berlandaskan kepada bakat, kebolehan dan kepercayaan yang diberi oleh penggiat-penggiat drama, filem dan teater. Itu lebih penting.
Dalam soal eksplorasi karakter dengan imej saya sekarang, saya sifatkan saya perlu lebih berhati-hati untuk memilihwatak.
Ya, saya mahu cabar diri untuk menggalas peranan yang lebih versatil kerana secara tidak langsung ia akan mendorong saya agar meningkatkan mutu lakonan.
Ada juga yang mempertikaikan niat Uqasha berhijab sebelum ini kononnya menjadi batu loncatan untuk berniaga tudung. Namun, selepas bisnes tudung tidak menjadi, apa perancangan Uqasha selepas ini?
Banyak salah faham mengenai isu perniagaan tudung itu seperti yang ditulis di dalam blog- blog dan sebagainya. Ada yang menulis saya membuka tudung hanya kerana perniagaan tudung saya lingkup. Sebenarnya tiada kaitan sekalipun mengenai isu buka tudung dengan perniagaan saya.
Pada mulanya, perniagaan ini dilakukan secara usahasama. Malah kontrak bersama label tudung tersebut sudah lama tamat sejak saya masih bertudung lagi. Isu perniagaan tudung itu lingkup sebenarnya berlaku kerana pihak tersebut telah menipu dan menyalahgunakan nama saya. Pelbagai alasan diberi misalnya perniagaan rugi dan tidak memberi pulangan.
Lantas saya bertindak menarik diri. Dan buat masa ini, tiada perancangan mahu melibatkan diri dalam sebarang perniagaan. Jika ada sekalipun, saya perlu kaji dan lakukan persiapan yang perlu untuk mengelakkan daripada berlakunya insiden serupa.
Jika ada yang mengandaikan tahap dan mutu lakonan Uqasha ‘gitu-gitu’ aje, apa komen Uqasha?
Saya tidak boleh komen kerana bagi saya jika ada yang beranggapan sebegitu, terpulang kepada mereka. Itu terpulang kepada penilaian masing-masing. Saya cuma percaya dan berpegang kepada rezeki yang ditentukan Allah. Seandainya sudah tertulis rezeki saya dalam bidang ini masih jauh, maka panjang lagilah jodoh saya dengan dunia lakonan.
Saya tidak perlu mempunyai apa-apa tanggapan terhadap orang yang berpandangan sedemikian. Sejujurnya saya mahu menjadi real actress dan bukan sekadar penyeri dalam industri. Seboleh mungkin saya mahu memperbaiki mutu lakonan dan berikan yang terbaik untuk kepuasan diri dan memenuhi apa yang diperlukan oleh pengarah misalnya.
Almaklumlah, sekarang kita punya ramai pelakon yang berbakat. Dan saya sifatkan itu sebagai satu persaingan sihat untuk terus menambah variasi dalam industri. Kelainan dan keberanian itu perlu agar tidak bisa dilihat biasa-biasa sahaja. Rajin berusaha untuk tingkatkan mutu lakonan, itu yang akan membezakan setiap barisan pelakon yang ada.
Harapan kepada peminat?
Terima kasih saya ucapkan kepada peminat- peminat yang selama ini menyokong saya daripada tak bertudung kepada bertudung dan sekarang tidak bertudung. Saya sangat mengharapkan sokongan yang positif daripada kalian. Teruslah mendoakan yang terbaik untuk saya sama ada dalam karier mahupun kehidupan peribadi.
Dan terima kasih juga kepada team InTrend yang memilih saya sebagai wajah sampul kali ini. Sokongan anda kepada karier saya amat bermakna. Terima kasih sekali lagi. Harap-harap yang keruh akan jernih kembali.