Dec 23, 2016 - 9894

“Saya Tiada Suami, Cuma Ada Abah dan Sefhia. Jangan Buat Saya Begini” — Elly Mazlein Kak Lina Pom Pom

Rumahtangganya roboh, dia menjanda dan tiba-tiba ceritanya 'viral' dijaja semasa dia sedang bertarung di pentas Gegar Vaganza 3. Bagaimana Elly Mazlein menghadapinya?

 

Oleh: Afiza Kamarulzaman 

 

 

 

Mana datangnya gelaran Kak Lina Pom Pom itu? Kongsikan…

Daripada nama asal Kak Lina, Sharifah Aida Mazlina, diringkaskan jadi Kak Lina. Pom pom tu entahlah datang secara spontan. Apabila kita selalu bergurau-senda di belakang tabir, waktu shooting sama kawan-kawan, secara tak sengaja mereka sebut pom... pom... pommm. Lama-lama, terus melekat Kak Lina Pom Pom.

 

Kak Lina sukalah nama Kak Lina tu. Rasa lebih mesra dan dekat dengan orang yang memanggil. Apabila sudah ada anak tak perlulah Elly-Elly sangat. Nama Elly itu pun diberi oleh pihak syarikat rakaman waktu Kak Lina mula-mula mahu menjadi artis. 

 

 

Mungkin Kak Lina sendiri sudah bosan untuk bercerita tentang isu tarik diri di Gegar Vaganza 3. Walaupun mungkin bagi Kak Lina isunya sudah suam-suam kuku, tapi masih ada yang mahu tahu, apa yang telusnya terjadi di belakang pentas waktu itu, benarkah Kak Lina tarik diri atau memang markah Kak Lina paling rendah? 

 

Suka sama suka. Ya, memang Kak Lina ada suarakan kepada produksi Gegar Vaganza 3 mahu menarik diri ketika di belakang pentas tapi (menarik nafas panjang), sudahlah... Kalau boleh Kak Lina tak mahu lagi ulas panjang- lebar tentang perkara ini kerana Kak Lina sedar ASTRO dan Gegar Vaganza banyak membantu menaikkan nama Kak Lina yang dulunya suam-suam kuku, kan? Hahaha... Apa yang sudah itu sudahlah.

 

Paling penting, Kak Lina mahu menjaga hubungan yang baik dengan semua pihak, terutamanya ASTRO. Insya-Allah, kalau pun tidak bersama Gegar Vaganza lagi, ada banyak lagi program ASTRO lain yang akan Kak Lina sertai nanti. Rezeki itu ada di mana-mana. 

 

 

 

 

Apa yang membuatkan Kak Lina mahu menyertai Gegar Vaganza 3?

Jujurnya, Kak Lina memang mahu mencari rezeki. Memang itu juga jawapan Kak Lina untuk Gegar Vaganza dulu. Yalah, dua tahun berlalu Kak Lina menyepi diri dengan hasrat hati kononnya mahu menjadi isteri mithali semata gitchuu, tapi akhirnya takdir tercatat sebaliknya.

Maka, Kak Lina haruslah bangun untuk kembali bekerja mencari duit sendiri. Dan, bagi Kak Lina Gegar Vaganza adalah medium terbaik untuk Kak Lina buat 'come back' selesai bersalin dan berpantang!

 

 

Ada yang kata Kak Lina tidaklah susah mana. Anak Tan Sri, hidup pun mewah, jadi kenapa perlu mencanangkan perihal mahu bekerja keras untuk anak sangat? 

Anak Tan Sri? Kak Lina okey je! Yang mereka sibuk Kak Lina nak cari rezeki untuk anak kenapa? Kak Lina susahkan sesiapa ke? 

 

 

 

 

Bagi Kak Lina menjadikah 'come back' ini atau ia lebih kepada 'come back' yang meraih simpati?


Kak Lina tidak ada masalah dengan apa pun label yang orang nak lemparkan kepada Kak Lina. Katalah apa saja, Kak Lina meraih simpati ke, menagih ihsan ke? Cuma, kalau part Tok Ram ‘tercakap’ yang “tengoklah pada ihsan kami, juri-juri”. Ya, terus-terang Kak Lina kata, memang ia mengguris hati kerana nawaitu Kak Lina berada di situ adalah untuk bertanding.

 

Kak Lina tidak perlukan ‘ihsan’ untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni ini. Kita perlu ingat, pertandingan itu membariskan ramai lagi peserta-peserta lain yang masing- masing punya bakat dan pengalaman yang cukup besar.

 

Apa kata mereka nanti, kalau benarlah perjuangan Kak Lina dalam Gegar Vaganza itu bersandarkan pada ihsan juri sahaja? Kak Lina tidak mahu ada yang terasa hati. Jujurnya, Kak Lina berada di sana untuk ‘memperjudikan’ bakat yang ada. 

 

 

 

 

Muka Kak Lina ‘ketat’ sewaktu Tok Ram ‘memuntahkan’ komen tersebut, adakah itu tanda protes Kak Lina waktu itu?

Di sinilah, menampakkan yang Elly Mazlein bukanlah hipokrit ya! Kak Lina bukan jenis kalau tak suka, tetap mahu berlakon buat-buat suka. Walaupun Kak Lina dilihat sengaja mempamerkan riak tidak senang di depan juri, tapi secara profesionalnya, Kak Lina menyudahkan babak dan program itu dengan baik.

 

Kak Lina hanya mempamerkan riak muka, tidak pula Kak Lina bertikam lidah dengan juri, itu bermakna Kak Lina masih menghormati kedudukan mereka sebagai juri program malam itu.

 

Kalau Kak Lina betul-betul jenis yang emosional dan mahu ‘bikin drama’ lebih panas, Kak Lina boleh saja berlalu dari situ terus ke belakang pentas pada waktu itu juga. Tapi, Kak Lina masih matang dan waras untuk mengawal perasaan, keadaan dan terus mampu berdiri hingga ke akhir rancangan. 

 

 

 

 

Apa momen indah sewaktu bersama Gegar Vaganza 3?

Apa yang Kak Lina dapat hari ini, itulah momen terindah Kak Lina di sana. Begitu besar impak Gegar Vaganza dalam perjalanan seni Kak Lina sekarang. Namun, yang paling Kak Lina hargai sepanjang berada di situ tentunya kesempatan yang diberikan untuk bersama-sama dengan penyanyi-penyanyi lama yang ada antaranya Kak Lina belum pernah jumpa pun sebelum ini. Contohnya adalah Abang Razif Ismail, beliau seorang penyanyi senior yang sangat berbakat dan baik orangnya.

 

Malah, dengan isterinya pun Kak Lina baik. Berkongsi pengalaman dengan mereka sesuatu yang sangat bermakna. Kami bagaikan sebuah keluarga. Dan, yang lebih Kak Lina terharu adalah sambutan setiap ahli kelab peminat untuk setiap peserta. Mereka saling menyokong antara satu sama lain.

 

Setiap peserta yang membuat persembahan, pasti menerima sokongan daripada semua team peminat. Rasa ikhlas itu amat mengesankan. Tak ada istilah, aku-aku, kau-kau. 

 

 

 

 

Kontroversi terus berdentum selepas Kak Lina tersingkir dari program itu apabila ada selebriti yang memberi komen ‘Elly Mazlein bukanlah siapa-siapa dalam industri ini dan dia itu drama queen’, perasaan Kak Lina? 

Sungguh angkuh kalau Kak Lina kata Kak Lina tidak terguris langsung. Ada rasa sedih itu cuma yang lebih sedihnya apabila Kak Ogy melontarkan pendapat itu pada medium yang kurang tepat. Kak Lina sedia menerima teguran itu kalau ia dibuat terus kepada Kak Lina. Dan, lebih sedih lagi apabila Kak Ogy tidak mahu approve kita sebagai followernya di Instagram. Eh, gurau! Tak apalah, bagi Kak Lina itu hak dia untuk bersuara sebagai orang yang lebih senior dalam industri ini.

 

Cuma, musykilnya apabila Kak Ogy memberitahu yang dia mengenali siapa saya menerusi drama arahannya, saya terkilan kerana saya sendiri tidak sempat mengenalinya sebagai pengarah saya waktu itu.

 

Dia hanya sempat mengarahkan drama itu beberapa babak saja sebelum diteruskan oleh pengarah lain. Sangat pendek tempohnya dan kami tidak pernah ada ruang langsung untuk duduk berborak seperti dalam sebuah krew produksi. Jadi, tidak adil rasanya kalau dia kata dia kenal benar siapa saya? 

 

 

 

Tidak cukup dengan itu, Kak Lina dijadikan pula bahan lawak Fara Fauzana di satu rancangan lain, komen?

Isu itu sudah selesai. Kebetulan, kami duduk bersebelahan di Gegar Vaganza minggu kelima tempoh hari. Dia sendiri bertanya kepada Kak Lina, betul ke marahkan dia?

 

Kak Lina jawab, “Ya saya marah kat awak.” Fara kemudian memohon maaf dan katanya ia hanyalah salah faham. Kak Lina suka cara Fara itu. Sekurang-kurangnya, dia seorang yang ‘kuat’ untuk meminta maaf dan mengakui apa yang tidak betul. Kami okey! 

 

 

Kemudian, muncul pula pelakon Anita Baharom memuat naik status menghentam Kak Lina juga, siapa pula dia? Dan apa kaitan dengannya? 

Oh, itu pun Kak Lina sedih! Kak Lina ada hantar request nak jadi kawannya tapi tak approve juga. Kak Lina sedihlah... 

 

 

 

 

Kenapa agaknya Kak Lina terus-menerus menjadi kebencian kebanyakan teman- teman dalam industri sendiri ya? 

Kak Lina percaya tidak semuanya begitu, masih ada yang sayang kepada Kak Lina. Yalah, cuma kadang-kadang terfikir juga kenapalah orang membenci Kak Lina. Tapi setiap kali persoalan itu menerjah, Kak Lina fikir kembali; sama seperti Kak Lina sendiri. Adakah Kak Lina suka semua orang? Pasti ada juga orang Kak Lina tidak suka.

 

Jadi, begitulah Kak Lina letakkan diri Kak Lina pada situasi mereka. Cumanya, antara permusuhan dan kasih-sayang, untuk apa kita memilih kebencian? Selagi ada orang mahu berbuat baik, sambutlah dengan baik. Kalau masih ada yang membenci, doakan saja satu hari nanti terbuka hati mereka untuk menyukai kita. 

 

 

 

 

Ada juga haters yang kata personaliti Kak Lina yang lembut, sopan-santun, bercakap tertib hanyalah karakter palsu di pentas industri sahaja, realitinya... 

Ya, Kak Lina bermuka-muka ya! Hahaha... Itu sahaja jawapan yang boleh Kak Lina beri kerana haters tetap haters. Kalau Kak Lina berhujah berjela-jela pun dan mereka masih komen lagi tentang perkara-perkara yang busuk itu.

 

Nanti, Kak Lina terus-menerus dicerca; dikatakan asyik nak flashback, tak move on. Kita cerita yang manis-manis sajalah, sayang. Kasihan juga dengan dia. Berilah peluang untuk dia bahagia dengan haluan dia. Kak Lina dengan hidup Kak Lina. 

 

 

Tapi, semua wanita di luar sana mahu tahu bagaimana Kak Lina jatuh, kemudian bangun dan akhirnya mampu berjalan seperti biasa, walau dalam keadaan luka berdarah? 

Kitakan ada Allah. Kita mengadulah segalanya kepada Dia. Kalau kita meluahkan kepada manusia, mereka hanya mampu mendengar dan memberi nasihat.

 

Namun, kalau kita sujud, serahkan diri bulat-bulat kepada-Nya, kita bukan sekadar tenang, malah dapat rasai nikmat reda itu. Dan, percayalah kepada hikmah selepas dipukul dengan segala ujian yang pedih.

 

Tengok Kak Lina sekarang, alhamdulillah, Kak Lina bahagia dan sangat bersyukur dengan begitu banyak limpahan sepuas-puasnya dan esoknya bangun dengan semangat dan buku baru. Fikirlah sendiri, adakah dengan menangis dapat mengubah apa-apa? Tidak, kan? Jadi, cukuplah menangis itu untuk melepaskan rasa dan kemudian kembalilah menjalani kehidupan seperti biasa. 

 

 

<<Klik Untuk Tonton Video Ini>>

 

 

 

Dalam sedar dan tidak, sebenarnya kontroversi yang melanda Kak Lina membawa rezeki yang melimpah-ruah juga, setuju? 

Ya, betul sangat! Alhamdulillah, dengan segala hentaman, cacian dan ujian yang melanda, Tuhan ganjarkan dengan rezeki yang berlimpahan untuk Kak Lina dan lebih- lebih lagi untuk anak perempuan Kak Lina, Putri Sara Sefhia. Memang rezeki anaklah dengan pelbagai tawaran yang datang sejak kebelakangan ini.

 

Kak Lina bersyukur sangat. Sepanjang ditimpa pelbagai ujian itu jugalah, banyak doa-doa Kak Lina dimakbulkan Allah. Contohnya, Kak Lina mahukan anak perempuan, Allah kabulkan dan banyak lagi sebenarnya apa yang Kak Lina minta, ditunaikan. 

 

 

 

 

Bagaimana indahnya kehidupan Kak Lina selepas dikurniakan Putri Sara Sefhia? 

Terlalu bahagia, tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Kalau boleh setiap detik tidak mahu dilepaskan bersama dengannya. Kerana itu, Kak Lina tolak tawaran berlakon sementara berada di Gegar Vaganza tempoh hari kerana tidak mahu tinggalkan Sefhia lama-lama.

 

Walaupun punya maid, tidak semua tugasan menjaga Sefhia, Kak Lina lepaskan kepadanya dan Kak Lina tidak pernah berasa penat memikul tanggungjawab itu. Abah juga banyak membantu.

 

Sefhia amat rapat dengan atuknya. Apabila sudah punya anak sendiri, perasaan keibuan kita akan lebih menebal dan sensitif. Kalau terbaca isu penderaan kanak-kanak, pasti tersentuh. 

 

 

 

 

Kak Lina kini tinggal dengan abah selepas kematian ibu, bagaimana pula Kak Lina melalui saat-saat getir tanpa wanita bernama ibu, walaupun ya masih punya abah sebagai tempat mengadu? 

Seperti yang Kak Lina katakan tadi, kitakan ada Allah; sebaik-baik tempat untuk mengadu. Dan, sekarang memang Kak Lina tinggal dengan Abah di Cyberjaya.

 

Awalnya, ketika Mama masih ada, Abah sudah siapkan rumah khas untuk kami tinggal di Damansara. Siap renovate semua. Mama pun sempat kemas dan hias rumah itu. Mama sangat happy dan teruja nak masuk rumah tersebut, siap sudah tahu di mana biliknya nanti.

 

Malangnya, pada waktu hampir Mama dan Abah pindah ke situ, Mama dipanggil Illahi; lima hari sebelum hari jadi Abah pada 2014, dan waktu itu adalah Hari Ibu. Sampai sekarang kami masih terkesan dengan pemergian Mama yang secara tiba-tiba. Apa pun kami reda.

 

Cuma untuk kembali ke rumah itu, agak sukar, baik Kak Lina mahupun Abah. Sesekali, Abah jenguk juga rumah itu untuk dibersihkan. Semoga roh Mama tenang di sana. 

 

 

 

 

Tidak rasakah Sefhia perlukan pengganti bapanya satu hari nanti?

Eh, tak payah, tak payah! Sefhia kecil lagi dan Kak Lina tak nampak pula perasaannya yang perlukan bapa itu. Kak Lina tidak mahu bebankan diri dengan komitmen berteman lelaki. Fokus Kak Lina sepenuhnya untuk Sefhia. Kak Lina mahu cari duit dan berikan pelajaran terbaik untuk Sefhia. Insya-Allah, Sefhia okey saja. 

 

 

Kak Lina dilihat sebagai antara selebriti yang sangat menghargai peminatnya terutamanya ketika berada di Gegar Vaganza 3 dulu, kenapa? 

Sebenarnya, Kak Linalah orang terakhir yang ada team peminat selepas ada yang bertanya Kak Lina sudah tubuhkan team ke? Mujur ada yang membantu. Alhamdulillah fan club Kak Lina sangat supportive. Dan, kalau orang tanya apa yang Kak Lina rindu di Gegar Vaganza 3, mereka inilah yang Kak Lina rindukan sangat.

 

Kami bagaikan sebuah keluarga. Kerana itu, Kak Lina siap-siap tempah katering untuk sediakan makan dan minum mereka sepanjang Kak Lina berada di pertandingan itu.

 

Itu pun tidak cukup untuk membalas kesungguhan mereka. Kak Lina sayangkan setiap peminat dan penyokong Kak Lina. Pantang Kak Lina kalau ada yang cuba memburuk-burukkan mereka. Bagi Kak Lina mereka semua adik-adik Kak Lina yang akan sentiasa Kak Lina back up. Lihat, daripada sekelumit manusia yang membenci Kak Lina, sebenarnya Kak Lina memiliki lebih ramai yang menyayangi Kak Lina.

 

Ya, walaupun Kak Lina akui ada antara yang mula menyokong Kak Lina atas rasa simpati daripada kisah pahit Kak Lina mengandung sendirian dulu. Dan, hingga kini terus menjadi penyokong dalam kerjaya Kak Lina pula. Inilah antara nikmat yang sangat Kak Lina syukuri. Sungguh. 

 

 

 

 

Tahun 2016 meninggalkan begitu banyak ujian yang bertimpa-timpa untuk Kak Lina, apakah ini tahun paling memeritkan? 

Walaupun diharuk dengan pelbagai tohmahan dan ujian, Kak Lina sebenarnya seronok dengan apa yang terjadi. Bukan apa, di sebalik apa yang berlaku Allah itu sudah susun kesudahan yang manis untuk Kak Lina. Percayalah, pada usia 35 tahun ini, Kak Lina berasa diri semakin kuat dan tabah.

 

Setiap dugaan yang datang, andai kita berjaya hadapi dengan baik, ia meninggalkan kekuatan yang sangat tinggi untuk kita.

 

Lagi pula, jika Kak Lina mahu rebah, Kak Lina fikir pasti ada orang lain diuji lebih hebat lagi cuma sisinya berbeza. Setiap kehidupan manusia pasti tidak lepas dengan ujian. Jadi, jangan fikir kenapa aku yang diuji? Kenapa aku yang harus menanggung semua ini? Ingat, bukan kau seorang! Tuhan uji umat-Nya kerana Dia sayangkan kita. 

 

 

 

 

Harapan Kak Lina untuk tahun 2017? 

Semua pasti mahu yang terbaik tahun demi tahun. Mahu lupakan semua yang perit dan bina kehidupan yang lebih baik hari demi hari. Alhamdulillah, walaupun belum menjengah tahun baru tapi jadual Kak Lina sudah penuh untuk tahun 2017 nanti. Kak Lina mengharapkan sokongan yang tidak putus-putus daripada semua, terutamanya peminat-peminat Kak Lina. 

 

 

Apa petua cantik Kak Lina selepas melahirkan anak, terutamanya mengembalikan bentuk badan seperti dulu? 

Jujurnya, Kak Lina memang berusaha keras untuk mengembalikan bentuk badan, walaupun tidaklah asal, tetapi lebih baik daripada sebelum mengandung dulu. Ketika berpantang tempoh hari, Kak Lina upah confinement lady untuk menjaga hal ehwal berpantang Kak Lina. Kak Lina ikut semua yang diaturkan.

 

Selepas berpantang, Kak Lina mendapat tawaran menyertai Gegar Vaganza pula, memang Kak Lina all out untuk menurunkan berat badan. Antara yang paling penting Kak Lina buat adalah jaga makan. Tapi tidaklah sampai tidak menjamah nasi, cuma Kak Lina mengambil nasi basmathi yang lebih berkhasiat.

 

Dalam satu portion itu, Kak Lina lebihkan lauk terutamanya sayur dan nasi sedikit sahaja. Kak Lina tak tinggal jogging. Work out penting untuk mengelokkan bentuk badan agar tidak melendut dalam proses penurunan berat badan yang berlaku dan membantu Kak Lina untuk mengekalkan stamina yang baik. 

 

 

 

 

Dan, harapan Kak Lina buat Sefhia? 

Kak Lina mohon agar Kak Lina terus diberi kekuatan untuk membesarkan Sefhia dengan sempurna. Semua ibu mahukan hanya yang terbaik untuk anak mereka. Jangan terperanjat melihat sejauh mana seorang ibu itu sanggup berkorban demi zuriatnya. Kak Lina sendiri mahu kerja keras untuk memastikan Sefhia mendapat pelajaran yang terbaik.

 

Kak Lina feeling mahu adakan home school untuk Sefhia, hahaha... Kami berkongsi banyak perkara sejak dia dalam kandungan lagi. Mudah-mudahan dia juga setabah ibunya... 

 

<<Klik Untuk Tonton Video Eksklusif Bersama Elly Mazlein>>

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “The Senrose Sisters” dianggap “The Kardashians/Jenners” Versi Lokal — Apa Komen Raysha Rizrose?

  • Seterus →

    “Baru Sahaja Masuk Satu Babak Lakonan, Saya diberhentikan…” — Puteri Aishah