Apr 30, 2017 - 345077

"Mereka Tak Hadir Majlis Kahwin Kami" — Cinta Jezamine & Harith Dulu Bergolak, Ambil Teladan Kisah Kesabarannya

Cabaran paling besar di awal perkahwinan mereka adalah tiadanya restu daripada keluarga. Namun Harith Iskander dan Jezamine tak putus asa. Ayuh kita ambil semangat positif suami isteri hebat ini.

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

DI SEBALIK kejayaan seorang suami, pasti ada isteri di belakangnya. Itu rumusan tepat menggambarkan peri pentingnya tugas Jezamine Lim, isteri kepada Harith Iskander. Dia juga bertindak mengurus perjalanan seni dan karier Harith. Baginya tugas mengurus selebriti bukanlah kerja mudah apatah lagi dalam masa sama, dia juga sedang bertarung menyiapkan tugasan tesis sebagai persediaan melengkapkan pengajiannya.

 

Bagaimana dia ‘menjual imej’ mereka sekeluarga mengingatkan kita bahawa sejauh mana anda pergi, keluargalah induk penting yang memacu keberlangsungan semuanya. 

 

 

Detik perkenalan Jezamine dan Harith Iskander, jika boleh diimbas kembali?

Oh... dalam lingkungan tujuh tahun lalu saya pernah muncul sebagai wajah sampul majalah FHM. Kemudian dia bertanya dengan salah seorang rakannya sama ada mengenali saya atau tidak. Dan kebetulan rakan dia juga salah seorang kenalan saya. Dia menyuruh Harith meninggalkan mesej kepada saya di Facebook. Daripada situ kami mula berkawan.

 

Hanya selepas tiga minggu, kami berjumpa kerana kebetulan ketika itu Harith mempunyai sesi penggambaran di Klang yang lokasinya hanya lima minit dari rumah saya. Our first date hanya bertahan selama 20 minit (ketawa) kerana dia seorang yang pendiam dan agak serius. Dalam 20 minit itu, sayalah yang banyak bercakap, bertanya itu dan ini, membuatkannya tertawa. Saya musykil dan bertanya kepadanya adakah dia benar-benar mahu dating dengan saya dan kemudian saya mohon untuk beredar.

 

Beberapa hari selepas itu, dia meninggalkan mesej melalui kiriman SMS. Mesejnya panjang lebar seperti karangan esei SPM! Hahaha... Setiap mesej dalam lingkungan enam halaman, bayangkanlah! Hanya selepas beberapa siri pertemuan, barulah kami ‘klik’. Lebih kurang setahun setengah kami bercinta dan kemudian berkahwin.

 

Sepatutnya kami berkahwin sebelum Allahyarham ibunya meninggal dunia, namun ajalnya mendahului perancangan penyatuan kami. Dan kami tetap menunaikan permintaan arwah untuk melihat kami bersatu pada tarikh hari lahir ibunya iaitu 12 Jun 2011. 

 

 

 

 

 

Bagaimana cara pelawak profesional melamar?

Very cute and sweet! Dahulunya saya memiliki sebuah restoran dan selepas siap mengemas serta membersihkan semuanya, dalam jam 9.00 malam saya menerima panggilan daripada Harith. Dia menyuruh saya ke rumahnya kerana ada barang yang ingin diberi. Namun setibanya saya di rumahnya, rumah itu sunyi.

 

Saya cuba mengetuk pintu beberapa kali tetapi Harith tidak membuka. Tidak lama kemudian saya beranikan diri untuk membuka pintu dan alangkah terkejutnya saya apabila melihat kelopak bunga mawar menghiasi ruang tamu rumahnya. Ruang dalam rumah itu gelap namun hanya bertemankan cahaya lilin yang menerangi seluruh ruang.

 

Kemudian saya terlihat ada teddy bear besar di tengah-tengah ruang tamu dengan sebuah kotak besar. Apabila saya membuka kotak tersebut, di dalamnya berisi cupcakes. Dan dalam kotak cupcake itu saya perlu terus membuka beberapa kotak sehinggalah saya menemui sebentuk cincin. Harith mahu membawa saya makan malam (fine dining) di restoran dan saya memberitahunya, “You know what, I only want to have Ramly burger. Can we just do that? And just spend time together.

 

Saya lebih rela duduk di tepi jalan dalam keadaan yang selesa berbanding bersiap cantik dan makan di restoran mewah. Mungkin kerana saya terlalu terkejut dengan lamaran itu dan tiada mood mahu bersiap, maka dia turutkan sahaja cadangan saya. 

 

 

 

Jezamine jatuh hati pada Harith kerana...

Dia seorang yang merendah diri, menjadi diri sendiri, berdikari dan saya kagum bagaimana cara dia menjaga arwah ibunya dahulu. Sudah bisa bikin hati saya cair. 

 

 

 

 

 

Bagaimana reaksi keluarga Jezamine pada mulanya?

Oh, ia tidak semudah yang disangka. Sedih juga kerana kedua-dua ibu bapa saya tidak hadir pada majlis pernikahan kami. Hampir semua segi, baik daripada keturunan, agama, budaya, karier; malah hingga susuk fizikalnya semuanya mendapat tentangan. Situasi lebih serius sehingga saya dan ibu tidak bertegur sapa setahun lamanya.

 

Hanya selepas saya melahirkan anak sulung, ibu datang dan memaafkan segala yang berlaku. Hubungan saya dengan ibu bapa sebelumnya cukup rapat kerana saya adalah anak sulung. Dari awal lagi sejak ibu mengetahui saya keluar dengan Harith dia sering mengingatkan yang hubungan kami tidak akan ke mana. Dan ia umpama amaran juga isyarat mereka tidak merestui hubungan kami.

 

Saya faham mengenainya dan dek kerana itu saya cuba memenuhi permintaan mereka. Namun mungkin sudah tertulis bahawa Harith adalah jodoh saya. Walaupun terpaksa melalui perit getir perjalanan membina bahtera rumahtangga bersama, kini semuanya berjalan dengan baik. Dan kami seisi keluarga gembira malah hubungan kami lebih erat. 

 

 

 

 

 

 

Jarak perbezaan umur, sukar atau tidak?

Pada mulanya saya tidak tahu berapa umur Harith ketika pertama kali berjumpa. Hanya selepas beberapa minggu dating barulah saya beranikan diri bertanya berapa umurnya. Dan selepas diberitahu mengenai umurnya, rasa terkejut macam nak terlompat pun ada! (ketawa). Namun dek kerana saya sudah terbiasa bergaul bersama rakan sewaktu di sekolah dahulu yang lebih senior daripada saya, maka ia tidak mendatangkan masalah yang ketara.

 

Well, age is just a number. Walaupun Harith jauh lebih berusia, ia sebenarnya banyak membantu dalam segala segi. Pada saya, mereka yang lebih berusia ini lebih matang dalam pemikiran, tindakan malah lebih memahami. 

 

Harith sendiri, sentiasa menyokong dan menggalakkan saya untuk menjadi diri sendiri dan mencapai apa yang diimpikan. Kerana sebagai lelaki, mereka perlu melalui pelbagai fasa untuk memahami apa sebenarnya kemahuan wanita. Dan itu sebahagian daripada kelebihan yang dimiliki oleh lelaki yang lebih berusia. 

 

 

<<Di Balik Tabir Sampul Hadapan InTrend Edisi April 2017>> KLIK DI SINI: 

 

 

 

 

 

Perbezaan karakter Harith di atas pentas dan di rumah?

Berbeza sama sekali. Saya pernah menemaninya buat kali pertama ke Singapura ketika dia membuat persembahan acara korporat. Tujuannya, untuk melihat sendiri apakah sebenarnya yang dilakukan Harith. Hanya berdiri di hadapan orang dan membuatkan orang tertawa. Dan saya terpesona melihat setiap lawaknya. Usai turun dari pentas, segalanya berbeza.

 

Wajahnya serius, pendiam dan kadangkala sukar untuk didekati. Hinggakan ada ketikanya berasa takut untuk membuka mulut dan bertanya. He is so introvert and the emotion is so minimal. Malah hingga hari ini saya tidak dapat mengagak adakah dia berkata ya atau tidak dalam membincangkan sesuatu. Saya sukar untuk menelah adakah dia bergurau atau serius, apa yang sarkastik atau adakah benar-benar dia memaksudkan sesuatu, saya sendiri tiada idea (ketawa).

 

Namun selepas mendalami cara kerjanya, barulah saya faham bahawa perlunya ada garis pemisah yang membezakan Harith Iskander sebagai standup comedian dan sebagai seorang bapa. 

 

 

 

 

 

 

Harith tangkas membantu menguruskan anak-anak di rumah?

He is hands on, adorable and helpful with the kids. Tidak lokek mencebok anak-anak, memandikan mereka dan lain- lain. Malah selepas saya baru melahirkan anak dan dalam tempoh berpantang, dia sering mengingatkan, “Malam- malam you tak payah bangun, you tidur okey. I akan tolong salin pampers baby.” Tetapi bukan dalam soal memasak.

 

 

 

Masakan yang digemari Harith hasil air tangan anda?

Roasted chicken dan salmon teriyaki. Saya cuma pandai memasak yang ringkas dan menu yang sihat sahaja. Kebanyakan kaedah memasak seperti mengukus, memanggang atau membakar. Setiap menu yang dimasak, saya akan kawal kuantiti lemaknya.

 

Misalnya mengurangkan minyak, menggunakan minyak zaitun dan tiada gula di rumah saya. Saya hanya menggunakan sumber asli jika mahu menambah manis dalam masakan. Lagipun gula dah naik, jadi jangan belilah (ketawa). 

 

 

 

 

 

Sukar atau tidak menguruskan Harith Iskander sebagai stand-up comedian?

Saya melihatnya dalam dua perspektif. Adakah saya sekadar mengurus jadual, booking atau cuba membawa namanya ke satu tingkat lebih tinggi. Pada saya bukan mudah menguruskan seorang selebriti. Ia adalah mengenai imej, branding malah merangkumi soal penjagaan makanannya serta keperluan yang lain.

 

Fokus utama saya adalah untuk memastikan tahap kesihatan dan gaya hidup Harith berada dalam keadaaan yang baik. Kerana jika dia sihat dari dalaman maka luaran dan zikalnya juga sihat.

 

 

 

Siapa lebih dominan dalam keluarga?

Mungkin saya kerana saya menguruskan jadual kerjanya, aktiviti kecergasannya juga dalam masa sama perlu memastikan ada masa yang dapat diluangkan bersama anak-anak.

 

Menarik mengenai Harith, dia tidak pernah merungut malah akan membantu. Misalnya jika saya perlukan masa untuk menyiapkan tugasan tesis, assignment, waktu belajar dan sebagainya dia akan membantu menguruskan anak-anak. 

 

 

 

 

 

Jezamine membantu menyumbangkan idea mungkin?

Saya tidak terlibat langsung dalam soal itu kerana tugas saya hanya berurusan dengan sesiapa yang mahukannya membuat persembahan, perjanjian, booking dan seumpama dengannya.

 

Mungkin juga kerana bidang kreatif bukan forte saya maka saya tidak pernah membantu dan tidak tahu bagaimana mahu membantu soal itu (ketawa). Tetapi adakalanya saya akan memberi cadangan, maklum balas apa yang baik dan sebaliknya. But I’m not a nice manager, you can ask him (ketawa)

 

 

 

Harith sebagai stand-up comedian, pelakon, pengarah; yang mana satu Jezamine senangi?

Dia seorang pengarah yang bagus tetapi pada saya dia tetap pelawak yang profesional. Saya sendiri mengagumi bakatnya dan oleh kerana benar-benar memahami dan ingin melihat dia melangkah lebih jauh dalam bidang ini membuatkan kami setuju untuk bekerja bersama; yakni saya bertindak sebagai pengurusnya.

 

Dalam perspektif lain, saya melihat kemahiran sudut pengarahan umpamanya boleh dipelajari dari bawah atau ilmunya bisa diperoleh dari kolej, universiti dan sebagainya. Berbeza dengan stand-up comedian, bakat untuk melawak adalah kurniaan yang amat berharga.

 

Anda boleh menulis satu skrip atau jalan cerita yang bagus tetapi tidak bermakna anda juga boleh menyampaikannya dengan baik jika tidak dikurniakan bakat. Dan percayalah, bukan senang untuk membuatkan orang tertawa sebenarnya. 

 

 

<<Temu Bual Eksklusif Dr. Jezamine Lim>> KLIK DI SINI: 

 

 

 

 

Sukarkah menjadi isteri pelawak yang bukan sahaja terkenal di Malaysia malah menempa nama di dunia?

Tidak terlalu sukar tetapi saya mengambil berat soal anak- anak. Kadangkala apabila kami keluar dan ada peminat mahu bergambar itulah detik sukarnya. Hingga hari ini saya masih tidak punya ‘kuasa’ untuk mengawal sepenuhnya pergerakan anak-anak. Dan ada ketikanya jika saya dan anak sulung berjalan di mana-mana, kemudian ada yang terperasan, “Oh ini anak Harith Iskander,” mereka terus mengambil gambar.

 

Malah ada kalanya tidak meminta izin terlebih dahulu. Ada kalanya saya terfikir perbuatan sedemikian kurang sopan tetapi tiada daya untuk menghalangnya. Selebihnya tidak mudah seperti yang anda kirkan tetapi secara keseluruhannya ia masih boleh diterima dan ditangani dengan cara yang baik.

 

The fun part is that, apabila ada peminat yang datang kepada Harith dan berkongsi tentang lawak yang pernah Harith sampaikan. I was touched. Ia umpama sesuatu yang menggerakkan Harith untuk terus memberikan yang terbaik.  

 

 

 

 

Bagaimana dengan anak-anak, selesa dengan limelight daddy mereka?

Mereka sudah terbiasa dengannya. Anak sulung sudah mula terlibat dalam bidang pengiklanan sejak berusia enam bulan. Mudah sekali beraksi dan apabila disuruh senyum, dia akan tersenyum.

 

Malah ketika Harith menyertai pertandingan Funniest Person In The World, mereka maklum dan memahami. Ia jauh lebih mudah kerana sejak awal lagi kami telah memberi pendedahan tentang apa yang daddy mereka lakukan. 

 

 

 

 

 

Rezeki kalian semakin melimpah-ruah selepas berkahwin dan punya anak. Komen?

Mungkin itulah berkat dan rezeki perkahwinan. Saya mula mengurus Harith selepas setahun kami berkahwin. Hampir lapan ke 10 bulan saya peruntukkan untuk benar-benar memahami, “Oh, begini cara kerjanya, gaya hidupnya itu dan ini.” Daripada situlah bermulanya perancangan. Contohnya, setiap tahun saya akan tetapkan matlamat.

 

Adakah dia mahu menembusi pasaran Asia umpamanya. Pada saya jika anda pastikan jenama dan diri anda sudah mula bertapak di luar negara dan orang ramai sudah mula mengenali, di situlah detik mulanya anda boleh mengembangkan bakat.

 

Daripada situ jugalah datangnya tawaran, iklan komersil untuk menjadi duta yang meluas hingga ke Thailand dan Filipina. Back end work adalah teraju utama yang menjana peluang berikutnya. 

 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Tiap Kali SITI SARAH Hamil, Job Tiada, Rezeki ‘Sangkak’, Tapi SHUIB Tawakal! — Ini Rahsia Jatuh Bangun Pasangan Berjaya

  • Seterus →

    “Mummy, Where Is God? Atas Atap Ke?” — Masya-Allah! Usaha NING BAIZURA Untuk Anaknya RYAN Buat Kita Terkesima!