Nov 05, 2016 - 116134

Bagaimana Lana Nodin Didik Suami “Omputih” Hormati Budaya Melayu dan Cintai Masakan Air Tangannya

Pertembungan dua budaya yang indah. Lana Nodin menceritakannya kepada kami.

 

 

Sumber foto: Instagram

 

Sumber foto: Instagram

 

 


 

APAKAH prinsip suami dan pegangan Lana dalam urusan mendidik anak? 

Kebanyakan mat salih tidak suka orang lain campur tangan dalam urusan membesar dan mencorakkan anak- anaknya. Tapi lain pula budaya kita. Lagi ramai saudara-mara datang membantu, kita lagi suka. Lagi ramai, lagi meriah, lagi erat ukhuwahnya, betul kan? 
 
 

Tapi bagi orang Barat, itu perkara yang salah, kenapa kita mesti biarkan orang lain menjadi ibu dan bapa kepada anak kita? Membiarkan orang lain menegur anak kita juga sesuatu yang salah, apatah lagi menyerahkan bulat-bulat hal-hal mengurus anak kepada datuk atau nenek. Bagi mereka, parenting urusan peribadi ibu bapa. Bukan milik nenek, bukan datuk, bukan siapa-siapa. Kalau boleh, dia tak mahu anaknya dimanja berlebih-lebih. 


 




 

Banyak orang kita sangka, kalau kita berkahwin dengan mat salih, maka anak-anak kita akan 'lari' dari banyak sahsiah asas.

Persepsi itu salah. Apabila saya masuk ke lingkungan keluarga ini, saya lihat sendiri, rupanya mereka ini jauh lebih tegas dalam prinsip mengasuh anak-anak.

 

Saya ambil contoh simple, dia pernah sebut, dia tak mahu memanjakan anak dengan membelikan mainan anak patung yang banyak. Baginya, toys itu membazirkan duit, dipakai pun sekejap. Kata David lagi, kalau boleh, dia tak mahu biasakan anak-anak dengan games, itu pun membazir, tapi kalau untuk pembelajaran okey saja. 


 



 

David ada kecenderungan menyalin semula kaedah bapanya membesarkan dia dulu, banyak bermain aktiviti kecergasan luar rumah, umur empat tahun sudah diajar bermain bola tampar.

 

Dari kecil lagi dia sudah dikelilingi keluarga berdarah Olimpik. Bapanya atlet, ibunya atlet, kakaknya atlet, abang iparnya atlet. Dia sendiri atlet.



 

 

 

 

 



 

Arwah bapanya dulu pemain bola tampar USA. Apabila umur meningkat, dia menjadi jurulatih profesional pasukan bola tampar USA, ibunya pula pemain bola tampar peringkat kebangsaan Filipina. Kakaknya juga pemain bola tampar peringkat nasional USA; suaminya pula, yang terkini merupakan pembantu jurulatih pasukan negara, pemain Olimpik USA tahun 2012. 

 

Cuma bezanya, dia ada ahli keluarga berlatar kewartawanan, datuknya merupakan mantan Ketua Editor The New York Times Magazine.


 



 



Video mengiqamatkan baby Gia di hospital jadi 'viral' di media sosial. Suami Lana sebak, Lana teresak, dan kami yang menontonnya di Instagram rasa hampir menangis. Ceritakan sedikit momen itu?

Suami berlatih untuk mengiqamatkan Gia sebulan sebelum lahir. Saya terangkan kepadanya, apakah maksud ayat demi ayat dalam iqamat itu. Saya katakan kepada David, apabila kita melafaz azan ke telinga baby, kita memperkenalkan dia kepada Tuhannya. 

 



Itulah seruan pertama yang sampai ke gegendang telinganya apabila dia berpindah dari alam rahim ke alam dunia. Saya sendiri membanyakkan bacaan tasbih sepanjang menunggu waktu bersalin. Malah saya dipesan juga amalkan bacaan doa Nabi Yunus, Surah Al-Anbiaq ayat 87 supaya mudah bersalin.

 

 
Ibu juga berpesan sunat melakukan tahnik (atau ada orang sebut belah mulut bayi) pada Gia. Tahnik ini adalah dengan cara kita mengunyah buah kurma dan kita letakkan sedikit rasa buah kurma itu pada lidahnya. Kata ibu, tujuan Tahnik, memohon anak kita dikurnia lidah yang fasih dan terkawal. Supaya dia tak menggunakan lidahnya untuk perkara-perkara tak berfaedah. 
 
 

Bukan mudah untuk menerang dan memperinci logik perkara ini kepada David. Tapi alhamdulillah, David sangat mengerti, bahkan takjub dengan keindahan ajaran agama kita.



Bagi David, perlambangan-perlambangan dalam Islam sangat-sangat indah. Tiada satu pun yang tidak mendatangkan manfaat.

 

 

 



 



Ada sebarang pertembungan pendapat atau amalan Timur-Barat antara Lana dan suami, sedang diserasikan?

Suami saya percaya, kalau saya stress, maka saya akan berikan susu yang stress kepada baby. Kerana itu sebaik mungkin, suami cuba menyenangkan saya, cuba girangkan saya.

 

Katanya, biar baby dapat susu yang happy, haha. 


 



 

Satu lagi, mat salih ni memang jadi kepantangannya melihat orang lain menyentuh atau memegang-megang babynya. Baginya, lebih kerap dipegang, lebih mudah virus berpindah kepada baby

 

 
Lain dengan budaya kita. Orang kita, kalau dah jumpa baby, siaplah, memang digomol disondol-sondol, tak gitu? Bagi mat salih, privacy perkara yang tersangat penting. Jangan sekali-kali ada orang yang cuba mencabuli privacynya. Mereka sanggup turun naik mahkamah dan saman menyaman jika berasakan hak-hak privacy mereka dicabuli.
 
 
 

 

Tapi syukur, hidup bersama David McKienzie taklah sesukar yang orang bayangkan. Saya banyak menerangkan kepada David, mengapa begitu, mengapa begini. Mengapa dalam budaya Melayu dan ajaran Islam, ada yang dibolehkan, ada yang diharuskan, ada yang diharamkan. 



 



David mudah faham kerana pengalamannya bermastautin di Malaysia dan Tanah Arab sebelum ini.

 

Seperti amalan mat salih memakai kasut di dalam rumah misalannya, saya terangkan kepadanya, mengapa kita mesti buka kasut sebelum masuk ke rumah. Supaya lantai tidak kotor, supaya lantai tetap suci, kerana kita bersolat di dalam rumah.

 

Dan seperti kata David, dia setuju, kerana di Arab sendiri, mereka tidak memakai kasut di dalam rumah.

 


 

Apa jadi pada baby Gia sampai majlis aqiqah terpaksa dibatalkan saat akhir?

Sebelum itu David terlibat dalam satu game bola tampar National Series di Singapura, tapi dia demam kerana cuaca terlalu panas sampai terkena heat stroke. Saya bawa Gia menemaninya. 
 
 
Pulang ke Kuala Lumpur, Gia diserang demam panas mendadak sampai suhu badannya naik 39 darjah. Kami panik. Saya terlupa segalanya tak mandi, tak makan, yang teringat hanyalah mengejarkan Gia secepatnya ke hospital. David rasa bersalah. Dia tahu dari mana datangnya demam panas Gia. “Sorry baby, it was my fault, baby...” Itu yang terulang-ulang dari bibir David. 
 
 
Saya tuamkan Gia, saya lap-lapkan badannya dengan tuala basah setiap lima minit. Melihatkan kondisi Gia yang tak berapa stabil, ditambah pula demamnya menular jadi cirit-cirit, David putuskan, majlis aqiqah dan cukur jambul Gia yang sudah direncana keesokannya mesti dibatalkan.

 
Saya reda.
 
 
 

Pada hemat Lana, bagaimana didikan ibunya, sehingga dia menjadi lelaki yang begitu baik, 'compassion', budiman?

David sangat rapat dengan ibunya, sampaikan umurnya 12 tahun pun dia mahu tidur di bawah ketiak emak. Apa lagi, kena halaulah dengan ayahnya, “Apa kau buat sini? Kau pergi tidur bilik kau!” Haaa, gitulah kira-kiranya kalau dia cakap Melayu, hahahah.

 



Jadi apabila kakaknya berangkat menyambung pengajian di kolej, tinggallah David berdua dengan ibu. Sebab itu dia tak canggung. Dia tak kekok buat kerja-kerja rumah, menyapu, mengemop, memberus bilik air. Membantu kerja-kerja dapur jangan ceritalah. Kalau InTrend pernah tengok di Instagram kami, setakat nak basuh beras, hish, memang tak ada masalahlah.

 

Sebab tu saya berani dera dia rebus seperiuk besar cili kering dan toskan sekali airnya... walau terkenyit-kenyit dia tahan pedih! (ketawa)

 



 



 

Dia lelaki yang sangat fleksibel, sangat mengerti, sangat budiman. Kalau saya sedang marah, dia tidak akan sekali-kali menekan saya, sebaliknya beri ruang untuk saya sejukkan diri dan tidak akan komen apa-apa walau sepatah.

 

Katanya, ibu dia selalu berpesan, perempuan memang emosi. Kalau dia tengah marah, biarkan. Jangan ganggu. Jangan usik. 

 



Ternyata didikan ibunya telah membentuk kejatian dirinya sebagai anak, suami, menantu dan status terkini sebagai ayah yang pandai bawa diri, prihatin, peka, tinggi sensitiviti.

 



 

Dia ni tak reti nak menipu, “It’s not good, it’s not good,” katanya selalu sambil menggeleng-geleng jika ‘tertangkap’ sesiapa menipu.

 

Saya rasa sangat bertuah. Kiranya doa saya di depan Kaabah satu masa dulu, alhamdullillah, dimakbulkan Allah SWT. 

 

Kenapa saya kata begitu? Sebab semua perkara yang saya minta, maksudnya di sini, ciri-ciri seorang suami yang saya impi-impikan, aduh, sebiji-sebiji saya dapat. Menyesal pulak tak mintak banyak-banyak, hahahah.

 



Gaya asuhan ibu David yang Lana mahu terapkan apabila mendidik Gia? 

Ibu David sangat baik. Dia juga wanita yang sangat kuat. Semasa hayat bapa David masih ada, ibu David membuat dua pekerjaan dalam satu masa semasa David dan kakaknya masih bersekolah. Siang bekerja, malam juga bekerja, demi menampung perbelanjaan keluarga kerana bapa David mengidap leukemia. 
 
 
 



 

Apabila ayahnya meninggal dunia, tinggallah ibu David seorang diri meneruskan mata pencarian keluarga. Ibunya tersangat baik. Bayangkan, tak pernah sekali dia buka mulut meminta duit daripada David, sedangkan kalau dia nak buat begitu, apalah sangat kan?


 

 



 

Waktu David melafaz hasrat memeluk Islam, ibunya menerima dengan hati terbuka, tak bising, tak membantah.

 

Sesudah menikahi David, kami tinggal serumah di USA. Perhubungan itu sangat indah kerana dasar saling menghormati yang dipegang teguh ibu David. 

 



 



 

“Mintak maaf mak. Saya Islam, saya tak makan daging babi,” saya memberitahunya apabila dia membawa pulang barang dapur yang baru dibeli. Cepat-cepat dia belikan set bahan mentah yang baru (halal) untuk menantu barunya.
 

 

Jangankan kata bahan mentah, perkakas memasak seperti periuk, kuali, pinggan, mangkuk, sudu, garfu, semuanya dibeli baru. Begitu sekali dia menghormati agama kita. 

 



 

Kalau saya bermalam di rumah ibu mentua, dia sanggup berpindah ke bilik sebelah yang lebih kecil, semata-mata mahu menyelesakan kami tidur di bilik tidurnya yang punya akses bilik air sendiri (kamar utama). 

 
 
Ibu saya sendiri terpana dengan kebaikan besannya apabila datang berkunjung, “Aduh, baiknya mak mentua kau Lana...” puji ibu saya.
 
 



Amalan cium dahi atau pipi dalam keluarga, tentu biasa?

Ya, di sana, berdakapan itu seperti satu budaya. Perkara biasa. Tiada yang luar biasa tentangnya. Tapi satu amalan yang tidak pernah suami tinggalkan sampai ke hari ini adalah mencium pipi ibunya, sebelum masuk tidur dan selepas bangun pagi. 


 



 

Kalau ikut budaya kita, malu kot nak cium-cium mak selalu? Temu bual ini buat saya terkenang kembali momen majlis perkahwinan kami, sewaktu ibu mentua saya berdiri buat ucapan untuk saya.

 

Isi ucapannya sangat-sangat menyentuh perasaan. Sangat sedih. Bukan saja dia menangis, semua hadirin menangis. Tetamu lelaki yang macho pun banjir air mata (ketawa). Sayang sekali tiada siapa rakam video ucapannya itu. Kalau ada, dah tentu jadi viral! (ketawa lagi)

 
 



Kalau marah suami, apa Lana buat?

Saya membebel. Siaplah dia kena dengar saya membebel berdas-das. Tapi selalunya dia ambil pendekatan diam. Sebab macam yang saya sebut tadi, itu yang diajari ibunya. 

 
 

 

 

Kalau membebel, saya cakap orang putih. Tapi kadang-kadang saya membebel juga dalam Bahasa Melayu, tapi dia faham.

 

“Hah, merajuk, merajuk! Eeiiiiii... apa ni jantan nak merajuk!” Walau hati rasa panas, saya sempat juga menyakatnya.

 

Tapi biasalah David, dia cool. Dia sangat-sangat cool. 

 


 

 

Kalau dia yang merajuk?

I  buat bodoh, haha.


 

 

 

 


Apa rasanya jadi isteri jaguh bola tampar taraf Olimpik?

Dia tahu saya tiada ilmu tentang sukan bola tampar pantai. Main bola tampar seumur hidup pun saya tak pernah! Jadi dia tak letak sebarang ekspektasi kepada saya meski kita isteri kepada pemain profesional peringkat Olimpik. 
 

 

Cuma kini, dia suka dan selalu bawa saya melihatnya berlatih dan bertanding. Musim panas di sini, bola tampar pantai macam satu festival luar biasa, beribu orang datang ke pantai.

 



 

Ibu ikonik sanjungan Lana?

Saya tak mahu pergi jauh. Mereka adalah ibu saya sendiri, Puan Zaimah binti Bujang, cuma orang kampung, tetapi membesarkan kami, sempurna. Juga ibu mentua saya, bagaimana dia mengayuh kehidupannya sebagai ibu tunggal hebat. Saya sanjung tinggi dua jiwa ini. Doa saya yang paling baik buat mereka.
 
 
 



 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “My Doa We Age Gracefully Together. May Our Love For One Another and Anak Is Timeless” — LISA SURIHANI

  • Seterus →

    “Istimewanya Isteri Saya, Dia Cukup Penyabar, Ikhlas dan Doanya Banyak Membantu Kami Mengharungi Pelbagai Ujian…” - Dato’ Jalaluddin