May 07, 2017 - 33147

“Kalau Makan Nasi, Cukup CUMA Sesenduk, Ini PETUA Saya” — Syafinaz Selamat Dedahkan Rahsia Kurus Sejak Dulu

Penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat memilki cara unik mengekalkan kesimbangan suara dan kecantikan. Kepada kami, Syafinaz menceritakan amalannya sejak dulu.

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimana Syafinaz membahagikan masa antara tuntutan kerja dan dalam masa sebagai penyanyi?

Bukan soal macam mana lagi dah, tapi itulah masalahnya (ketawa). Banyak perkara yang perlu diselesaikan. Saya mengajar pada waktu siang dan sebelah malamnya saya akan bergegas mengadakan sesi latihan atau raptai dengan Kumpulan Koir atau jika mempunyai persembahan, saya akan lakukan sesi latihan pada waktu malam. 

 

 

Sering berkejar ke sana- sini, bagaimana Syafinaz memastikan kekal sihat dan segar di hadapan pelajar? 

The job hazard for performer is always to look presentable. Itu salah satu masalah besar bagi saya. Kadangkala daripada mengajar perlu bergegas ke majlis atau memenuhi undangan menyanyi dan sebagainya. Takkanlah pula muka mengajar dengan muka mahu pergi ke function muka yang sama bukan? (ketawa) Baju perlu disalin, muka perlu bersolek.

 

Jika wajah ditatarias oleh jurusolek, ia umpama sesuatu yang berharga buat saya. Kelazimannya saya perlu bergerak dari satu tempat ke tempat sehingga tidak sempat mahu bersiap. Kadangkala saya akan mekap di dalam kereta sahaja. Faktor masa menjadi kekangan besar untuk saya buat masa ini. 

 

 

 

Pengambilan suplemen atau sumber makanan tambahan lain, sejauh mana ia membantu?

Saya amalkan memakan suplemen seperti Vitamin C, multivitamin, zink dan sebagainya. Mungkin kerana saya mengajar dan seringkali berhadapan dengan pelajar yang kadangkalanya mereka sakit; saya mudah jatuh sakit. Contohnya ulser di dalam mulut, selesema dan batuk.

 

Itu juga menimbulkan sedikit kesulitan kerana suara adalah aset untuk saya menyanyi dan mengajar. Di sinilah pengambilan suplemen banyak membantu dan penting kerana kadangkala saya tidak mempunyai waktu tidur yang mencukupi.

 

 

 

 

 

 

 

Rejim penjagaan kulit wajah yang diamalkan sejak dahulu? 

Membersihkan wajah sebelum tidur adalah satu kewajipan. Walau mengantuk atau malas sekalipun, saya tetap dan perlu mencuci muka. Ada kalanya paling tidak pun saya menggunakan wet wipes untuk mencuci muka. Sehinggakan kadangkala saya melakukan dua ke tiga kali pembersihan wajah.

 

Selain facial wipes dan liquid cleanser, juga kerana banyak terdedah kepada udara luar yang rata- ratanya tercemar membuatkan saya lebih berjaga-jaga dan mementingkan penjagaan dan pembersihan muka. Malah saya berasa kulit saya sekarang lebih baik berbanding dahulu. 

 

 

 

 

Usia berapa mula menjaga kulit wajah?

Sejak muda kerana ibu saya yang menanamkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan muka. Bakal menginjak 87 tahun ini, ibu masih lagi memakai pembersih, penyegar dan pelembap. Itulah rutinnya sejak muda hingga sekarang. I’m not blessed with good skin dan kerana itu saya perlu menjaga kulit wajah.

 

Saya gemar menggunakan mask, sebut sahaja apa jua jenis mask misalnya hydrating mask, whitening mask, facial lifting mask, anti-aging mask dan banyak lagi. Ia umpama kemestian bagi saya. Kadangkala jika saya rajin dan berkelapangan, setiap malam saya akan menggunakan masker.

 

Selain masker, saya juga gemar menggunakan serum untuk memastikan kulit wajah kekal bersih dan segar. Memandangkan saya sering keluar, maka aplikasi sunblock juga adalah pelindung terbaik untuk kulit wajah. 

 

 

 

 

 

 

 

Punya masa ke spa? 

Again, spa and facial is a luxury for a woman like me (ketawa). Tetapi saya cuba memastikan rutin ke spa atau facial sekurang-kurangnya sekali sebulan. Contohnya bulan ini saya akan melakukan facial atau ke spa untuk rawatan urut badan bulan berikutnya.

 

Ia bergantung kepada apa yang saya sasarkan atau apa yang ingin dicapai dalam tempoh itu. Dan didorong atas faktor usia kini, kadangkala faktor seperti pigmentasi, lingkaran gelap bawah mata, laser treatment, itu semua akan saya lakukan tetapi tidaklah selalu. Cuma akan mengulanginya apabila perlu. 

 

 

 

'Item' yang perlu ada dan sentiasa dibawa ke mana- mana...

Bio water spray, wet wipes, tisu, eye drop juga beg ubat yang memuatkan panadol, ubat sakit tekak, ubat sakit perut, selesema dan batuk. Sehinggakan ada rakan-rakan yang menggelarkan saya seperti farmasi bergerak (ketawa). 

 

 

 

Petua Syafinaz menjaga rambut? 

Saya mempunyai tekstur rambut yang halus (seperti rambut bayi) dan lembut. Hanya dengan mengaplikasikan volumize shampoo juga menggunakan perapi sudah memadai. Memandangkan faktor usia yang semakin muda (ketawa) penjagaan kulit kepala juga diberi tumpuan.

 

Selain itu saya juga mengambil suplemen, menggunakan Argan Oil juga rutin mencuci untuk penjagaan rambut. Daripada segi potongan pula, saya sukakan rambut pendek tetapi malangnya potongan rambut pendek tidak sesuai dengan raut wajah saya. Pernah cuba tampil dengan potongan rambut pendek tetapi tak pernah orang suka (ketawa). Lebih 20 tahun saya tidak potong rambut. 

 

 

 

 

 

 

Penampilan Syafinaz sebagai pensyarah dan penyanyi, bagaimana seimbangkan antara kedua-dua profesyen ini?

Daripada segi mekap, tidaklah selalu atau senantiasa tampil presentable. Ada kalanya lebih selesa tanpa mengenakan mekap. Dalam soal berfesyen, saya pastikan pakaian sentiasa kemas dan rapi.

 

Jika menyarung jeans misalnya, ia bukanlah jeans yang koyak rabak, menyarung jaket dan sebagainya. Ada juga masanya saya memilih pakaian yang sesuai untuk kedua-dua profesyen ini. Baik mengajar dan ke majlis, pasti ada pakaian yang dapat membezakannya. 

 

 

 

Walaupun sibuk tetapi tubuh Syafinaz masih kekal langsing. Apa rahsia? 

bukanlah menjadi rutin dalam jadual harian saya. Sehinggakan malu rasanya mahu mengakui saya tidak bersenam (ketawa). Saya benar-benar percaya dan berpegang bahawa senaman bagus untuk kesihatan.

 

Syukur dan bertuah juga kerana mungkin faktor genetik, susur galur keluarga saya tiada yang bersaiz besar atau gempal. Cuma pemakanan perlu dijaga sejak melangkah ke fasa usia ini. 

 

 

 

 

 

 

 

Cara Syafinaz kawal pemakanan?

Seperti orang lain, saya juga makan nasi cuma kuantitinya hanya sesenduk. Setiap hari saya makan nasi dan menjadi kemestian untuk memastikan ada sayur dalam menu harian saya. Kadangkala saya makan nasi untuk hidangan malam tetapi saya cuba praktikkannya agar tidak terlalu kerap.

 

Sebaliknya menggantikannya dengan memakan sup. Dalam seminggu saya cuba pastikan dalam seminggu ada sehari saya hanya makan sayur sahaja. Contohnya sup sayur dan pelbagai lagi kaedah memasak yang hanya menggunakan berbagai-bagai jenis sayur. Kurangkan makan karbohidrat dan lebihkan lauk-pauk.

 

Selain itu sejak kecil lagi saya sudah terbiasa dengan amalan minum air suam dan air panas. Tidak menggemari minuman manis atau kopi, sebaliknya saya suka makan yang manis-manis. Itu antara masalah besar saya. Jika ke buffet lunch atau buffet dinner, kaunter dessert yang saya tuju.

 

Saya suka makan coklat, ais krim, kek dan sebagainya. Tetapi semuanya masih boleh dikawal kerana saya perlu berjaga-jaga memandangkan arwah ayah dahulu penghidap diabetes maka yang manis-manis perlu dikurangkan pengambilannya. 

 

 

Bagaimana pula dengan berat badan, cepat naik atau cepat turun?

Berat badan lebih kurang sama dalam lingkungan 50kg ke 52kg. Walaupun saya mahu kurangkan sedikit tetapi saya tidak boleh kelihatan terlalu kurus. Jika terlalu kurus, nampak cengkung pula. Masih lagi perlukan sedikit lemak misalnya pada bahagian muka. 

 

 

 

 

 

 

Antara mekap dan berfesyen, yang mana lebih Syafinaz tumpukan?

Pada saya kedua-duanya kerana ia saling melengkapi antara satu sama lain. Daripada perspektif bersolek misalnya, saya hanya mekap yang beria-ia untuk memenuhi undangan menyanyi sahaja. Jika tidak, saya selesa mengaplikasi loose powder atau compact powder.

 

Jika keluar rumah misalnya, ada masanya saya bermekap dan ada kalanya tidak. Jika saya mekap sekalipun cuma ingin menghabiskan alat solek kerana faktor tarikh luput dan sebagainya (ketawa). Pada saya penjagaan kulit adalah perkara penting kerana saya tidak dilahirkan mempunyai kulit yang cantik, gebu, mulus dan sebagainya. Ia menuntut saya untuk lebih rajin dan benar-benar menjaganya dengan rapi.

 

Soal berfesyen pula, saya tidaklah galak mengikut trend tetapi sebaliknya menerapkan stail dalam gaya fesyen yang saya peragakan. Saya percaya setiap daripada kita mempunyai cita rasa dan stail.

 

Jika diikutkan dalam soal gaya, saya bersiap mengikut tuntutan kerja dan tujuannya. Misalnya I dressed up as a lecturer. Kemudian saya bersiap untuk ke majlis rasmi dan ada masanya saya selesa mengenakan apa jua yang saya selesa kala santai duduk di rumah dan sebagainya. 

 

 

 

Apakah yang klise mengenai kecantikan tetapi hakikatnya itulah kebenarannya, komen Syafinaz? 

Beauty is from within maksudnya anda perlu cantikkan dalaman barulah kecantikan itu terpancar dari luaran. Pada saya ia penting kerana anda perlu mempunyai ilmu pengetahuan untuk dilihat cantik yang seiring dengan peribadi, tingkah laku dan adab sopan. Lihat sahaja orang bijak pandai, mereka berusaha untuk ‘mencantikkan’ pemikiran mereka.

 

Selain itu pada hemat saya, ada juga yang kelihatan cantik kerana suara mereka. Biarpun punya rupa paras biasa-biasa sahaja, tetapi apabila melantunkan suara yang merdu dan lunak seseorang itu tetap terlihat cantik pada pandangan saya. 

 

 

 

Tokoh atau individu yang memberi inspirasi kepada Syafinaz?


Sudah semestinya ibu saya. Alhamdulillah bakal menginjak 87 tahun ini, syukur Allah masih pinjamkan kudrat untuk ibu saya. Masih sihat dan sibuk dengan kegiatan hariannya. Saya mengagumi kekuatannya, kesungguhannya dan setiap nilai yang ada dalam dirinya.

 

Biarpun mempunyai 11 anak, dia mampu membesarkan kami sebaiknya. Dan dalam masa sama masih menjaga penampilannya baik daripada segi penjagaan kulit wajah, berfesyen dan sebagainya.

 

Dia masih lagi aktif dengan kumpulan koirnya, sibuk mengaji, ada masanya dia akan berkaraoke. Dia dahulunya seorang guru dan secara tidak langsung darah cikgu itu turut mengalir pada saya. 

 

 

 

 

 

 

Komen Syafinaz mengenai dunia seni dan bakat penyanyi hari ini?


Saya lihat masih ada lagi yang berpegang kepada populariti. Jika anda popular dan dikenali dengan mudahnya anda boleh menjadi penyanyi. Saya masih berpegang bakat adalah perkara pertama. Benar, semua orang boleh menyanyi tetapi sangat sedikit daripada kita yang benar-benar berbakat dan boleh menyanyi dengan baik.

 

Sekarang pada saya terlalu mudah sesiapa menjadi penyanyi. Dalam istilah penyanyi yang sebenar, mereka ini tidak bersembunyi atau berselindung di sebalik auto tune, muzik yang bagus dan sebagainya. Ada kalanya apabila melihat pendatang baru menyanyi di YouTube umpamanya terdetik juga di fikiran, ‘Alamak, macam ini pun boleh jadi artis, penyanyi’ hingga sampai ke tahap saya sendiri tidak faham dengan apa yang orang ramai ingin lihat sebenarnya.

 

Benar saya tidak menafikan zaman sekarang dengan berbekalkan kecanggihan teknologi dan seumpama dengannya mudah sekali seseorang mencipta nama tetapi ia tidak bermakna semudah itu anda boleh menjadi penyanyi. Tidak salah jika bakat anda lahir daripada platform rancangan realiti, YouTube lantas meraih populariti.

 

Mengapa tidak berusaha untuk belajar dan perbaiki mutu nyanyian. Belajar menyanyi tidak semestinya anda perlu ke universiti sebaliknya pergilah mencari guru atau menelaah daripada buku. Apa yang mengecewakan saya adalah, apabila ada yang merasakan mereka sudah cukup gah; mereka boleh menyanyi. Atau ada yang berpendapat, semakin lama menyanyi semakin banyak pengalaman dapat dikutip.

 

Ya, saya setuju daripada soal itu tetapi sementara menanti anda meraih dan mengumpul pengalaman itu, telinga ini sudah bernanah mendengar nyanyian anda. Malah saya sendiri sentiasa perbaiki kekurangan dan kelemahan dengan belajar daripada barisan guru-guru profesional. Baik dalam negara mahupun di luar negara, istilah belajar tiada tarikh luput atau tamat tempoh. 

 

 

 

Mengapa masih tidak mempunyai akaun media sosial? 

Rakan selebriti Amber Chia, adalah orang yang selalu bertanyakan bilakah masanya saya akan buka akaun Instagram. Sehingga setiap kali kami berjumpa, katanya, “Eh, you sudah ada Instagram ke? Facebook? I open for you now (ketawa)." Bukan soal saya tidak percaya kepentingan media sosial tetapi mungkin belum buat masa ini.

 

Mungkin suatu hari nanti saya akan buka akaun Instagram, tapi bila tidak pasti. Benar, ia medium terbaik untuk anda berinteraktif dengan peminat, lebih mengenali siapa kelompok peminat anda, dapat memasarkan produk, meluaskan perniagaan dan sebagainya. Tetapi ada juga dalam kalangan rakan saya yang mengatakan tidak mengapa jika tidak punya akaun media sosial.

 

Maka, tunggu dan lihat sahaja (ketawa). Ia seakan menjadi trend misalnya artis-artis muda apabila ada majlis, mereka akan sibuk mengeluarkan telefon bimbit kemudian merakam video atau mengambil gambar. Saya masih lagi berada di fasa yang sedikit konvensional. Saya duduk dan menikmati setiap persembahan. Lihat dan perhatikan semuanya tanpa ada sebarang gangguan. 

 

 

 

Pesanan cantik daripada Syafinaz? 

Cantik adalah apabila ia bermula daripada dalam diri, minda dan kata-kata. Pelihara dan gunakan apa jua yang ada pada diri anda untuk kebaikan diri. 

 

 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    “Buatlah, Tapi Jangan di Luar Kau Jadi Perempuan!” — LELAKI Ini Tular Kerana PARODI Dayang Nurfaizah

  • Seterus →

    “Hang Ada Masuk Pertandingan Ka?” — DANIAL Berahsia ke ‘Audition’, Tapi Rupanya RESTU MAK Itu Perlu