Mar 03, 2017 - 4830

Dengan Modal Beli Kelapa RM2.50, Anda Boleh Dapat Ini — Putihkan Siku & Ketiak, Haluskan Tapak Kaki Kasar, WOW!

Daripada buah, minyak, hampas dan air—semuanya ada khasiat yang mampu cantikkan tubuhmu dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Selamat mencuba

 

 

 

 

Oleh: Huda Hussain 

 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

 

 

SABAN hari kita menggunakannya dalam masakan. Tak lemak tanpa santannya, kurang enak jika tiada kerisiknya. Bahan ‘mesti ada’ di dapur ini bukan sahaja amat berguna dalam masakan tetapi khasiat yang tersembunyi di sebaliknya memberi input yang bermakna daripada perspektif kecantikan. Ayuh kita bongkar rahsia manfaat pelbagai ‘produk’ kelapa—santan, air, hampas dan minyak untuk cantikkan kulit kamu.

 

Kelapa atau nama saintifiknya cocos nucifera juga dikenali sebagai nyiur merupakan spesies tunggal yang dikelaskan dalam jenis cocos dan merupakan pokok palma yang besar. Lazimnya kelapa banyak ditanam dikawasan beriklim tropika dan menurut kajian ia dapat ditemui di lebih 80 buah negara. Dengan jolokan a tree of life, terbukti sepohon kelapa membawa 1001 makna dan kegunaan yang bermanfaat dalam kehidupan—baik daripada segi kesihatan mahupun kecantikan. 

 

 

SANTAN

Rambut Lebat, Hitam dan Lembut

Ambil kelapa tua, kisar dan perah hingga pekat-pekat. Biarkan selama sejam agar patinya naik, kemudian sapukan pada rambut. Gunakan
jari atau sikat bergigi jarang. Balut dengan tuala bersih dan perap selama setengah jam. Selepas itu, bilas rambut kamu dengan air bersih. 

 

 

Khasiat Santan

Khasiat santan yang mengandungi asid lemak tepu bukan sahaja untuk kecantikan tetapi mampu melindungi kulit dan mengekalkan daya
ketahanan badan seseorang. Lulur santan yang dirumus secara semula jadi berperanan menyingkirkan sel kulit mati, merangsang keanjalan
kulit dan memberikan kelembapan.
Selain itu, lulur santan juga berkesan mengurangkan risiko kulit gelap akibat terdedah kepada cahaya matahari.

 

Kandungan asid laurik dalam lulur santan merangsang pertumbuhan kolagen dalam sel kulit serta bertindak melindungi kulit daripada kuman. Jangan tersalah anggap bagi kamu yang berusaha mencerahkan kulit dengan lulur santan. Kulit cerah yang terhasil bukanlah daripada proses pengelupasan produk kecantikan tetapi ia berlaku secara semula jadi dengan penyingkiran tisu dan sel-sel mati serta kotoran yang terdapat pada kulit. 

 

 

Kredit foto: Google 

 

 

Kelebihan Lulur Santan

  • Menjelmakan kulit agar menjadi lebih halus, gebu dan cerah.
  • Membuang sel-sel mati dan daki yang terdapat pada badan.
  • Memutihkan bahagian pelipat seperti paha, lutut, siku dan celah ketiak.
  • Boleh mengurangkan tekanan dan keletihan badan.
  • Mengekalkan tenaga yang optimum. 
  • Mengurangkan masalah bau badan dan mengawal masalah peluh berbau.
  • Membaiki tekstur kulit.
  •  Mengurangkan dehidrasi. 

 

 

 

 

 

Kredit foto: Google

 

 

MAGIS AIR KELAPA

Cantikkan Wajah

Tahukah kamu air kelapa mempunyai unsur kandungan makro dan mikro iaitu karbon dan nitrogen? Ia termasuklah glukosa, sukrosa, protein, mineral, asid amino, kalium, kalsium, magnesium, ferum, vitamin C dan lain-lain. Bukan sahaja sedap diminum kala panas mentari menuncak, tetapi manfaat air kelapa dapat mencantikkan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. 

 

Tumpaskan Jerawat

Sediakan satu gelas air kelapa yang dicampur dengan kunyit dan biarkan semalaman. Kemudian masukkan serbuk kayu cendana dan perap selama tiga hari. Titiskan campuran tadi pada jerawat dua kali sehari. Insya-Allah jerawat kamu akan hilang.

 

 

Serikan Wajah

Sapukan air kelapa yang telah disimpan semalaman ke muka kamu beberapa kali. Pastikan muka kamu dibasuh dengan air kelapa dan biarkan selama sejam sebelum dibilas dengan air. Amalkan seminggu sekali agar wajah lebih cantik berseri.

 

 

Cantikkan Telapak Kaki yang Kasar

Rendam segenggam beras ke dalam air kelapa selama enam hingga tujuh jam. Tumbuk atau giling beras rendaman tadi sehingga halus dan letakkan pada telapak kaki. Lakukan selama tiga hingga empat hari.

 

 

Hapuskan Kesan Jerawat

Bekas jerawat dan bintik hitam menodai wajahmu? Usah biarkan dan atasi segera dengan air kelapa. Tuang segelas air kelapa dalam bekas berisi parutan tiga ruas kunyit. Biarkan ia semalaman dalam peti sejuk.

 

Kemudian, masukkan tiga senduk serbuk teh cendana ke dalamnya dan perap selama tiga hari. Selepas itu, saring ramuan tadi dengan kain kasa. Oleskan larutan tersebut pada wajah yang berjerawat. Lakukan dua kali sehari sehingga kesan jerawat lenyap.

 

 

Hindari Uban

Larutkan satu senduk teh dan garam dalam air kelapa hijau segar. Gunakan selepas kamu bersyampu. Setelah itu, biarkan selama beberapa minit di kepala sambil dipijat-pijat. Bilas dengan air bersih. 

 

 

Kredit foto: Google 

 

 

MINYAK KELAPA

Minyak kelapa merupakan antara bahagian yang paling berharga daripada buah kelapa. Ia digunakan sebagai bahan baku industri dan sebagai minyak goreng. Minyak kelapa dapat diekstrak daripada isi kelapa segar atau isi kelapa yang telah dikeringkan.

 

Malah, santan yang melalui proses penapisan mampu mengeluarkan minyak untuk tujuan masakan. Dalam masa sama, ia juga berguna dalam bidang kecantikan khususnya untuk mencantikkan rambut. Untuk dapatkan rambut sihat berkilat dan lebat, cubalah petua ini.

 

 

Rambut Sihat

Berkilat Bagi kamu yang ingin mendapatkan rambut hitam berkilat dan tidak cepat beruban, minyak kelapa hijau (dibuat sendiri) mampu merealisasikan apa yang kamu hajati itu. Masakkan minyak kelapa hijau (yang dibiarkan sejuk). Kemudian lumurkan pada rambut semalaman. Apabila bangun pada waktu pagi, cuci bersih menggunakan air biasa.

 

 

Rawati Rambut Kering

Rambut yang kering, hujung rambut yang putus-putus serta mudah gugur dapat dipulihkan dengan minyak kelapa. Caranya, perah santan daripada dua atau tiga biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan).

 

Kemudian jerang di dalam kuali yang besar dan tebal. Seeloknya, gunakan dapur kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala. Selepas beberapa minit, bilas kepala dengan air bersih. 

 

 

 

Kredit Foto: Google

 

 

MANFAAT HAMPAS KELAPA 

Hilangkan Daki

Ambil setengah biji hampas kelapa kemudian gosokkan pada badan. Lakukan beberapa kali sehingga kulit rasa bersih dan daki luput daripada kulit. Selepas itu, bersihkan badan seperti biasa. Lakukan sekurang- kurangnya sekali seminggu.

 

 

Lembutkan Tangan

Jika tangan kamu kasar selepas memarut kelapa, ada cara untuk lembutkannya. Lumurkan dan gosokkan hampas kelapa pada tangan setiap kali selepas memarut kelapa. Lakukan sekali dalam seminggu. Ia dipercayai mampu melembutkan tanganmu seperti sedia kala. Selamat mencuba! 

 

 

Kredit foto: Getty Images 

Majalah Intrend! , ikuti kami di and .


  • ← Sebelum

    Kenal Pasti 4 Jenis Diet Terbaik yang Perlu Anda Tahu Sebelum Melakukanya

  • Seterus →

    8 Warna Makanan Ini Boleh Memanjangkan Jangka Hayat Seseorang! Aneh Tapi Anda Perlu Baca, Baru Percaya